Pendakwaan dibuat kerana tidak sokong Muhyiddin - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa dia dimaklumkan pertuduhan kes mahkamah dilakukan terhadapnya kerana tidak menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian selepas ditanya oleh peguamnya, Gobind Singh Deo dalam prosiding bela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah wang RM1 juta, salah guna harta RM120,000 dan pengubahan wang haram (AMLA) RM100,000.

Syed Saddiq, 31, berkata, meski pun tidak mempunyai masalah peribadi dengan Muhyiddin, namun ia tidak akan menghentikan pertuduhan kes jenayah terhadapnya.

Gobind: Adakah kenyataan yang anda buat di mahkamah berhubung pertuduhan yang dihadapi di mahkamah, adalah benar?

Syed Saddiq: Ia benar Yang Arif. Sehingga ke hari ini saya masih ingat saat ia berlaku, isu yang dibincangkan dan kesannya, ia adalah salah.

Gobind: Apa maksud anda, ia adalah salah?

Syed Saddiq: Pegawai penyiasat bagi kes saya, serbu rumah saya. Dia bersama saya setiap hari, maklumkan SPRM adalah alat politik jika berlaku perubahan kerajaan dan saya telah menjadi mangsa politik.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ini berkata, jika beliau menyokong Muhyiddin semata-mata tidak mahu terjerumus dalam kluster mahkamah, ia menjadi suatu yang tidak wajar dan salah.

“Ini tidak betul, saya harap isu itu akan diperbetulkan Yang Arif dan saya tidak mahu musuh politik saya mengalami perkara yang sama,” kata anak jati Johor Bahru itu.

Selain Gobind, Syed Saddiq turut diwakili oleh peguam, Haijan Omar manakala pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali.

Dalam prosiding terdahulu, Haijan merujuk Syed Saddiq dengan transkrip rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan antara Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini dengan seorang pegawai kanan SPRM dikenali Ihsan.

Dalam transkrip itu, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq supaya menyokong Muhyiddin kerana bekas Perdana Menteri tersebut yang membawanya memasuki Bersatu.

Sementara itu, dalam prosiding sama, bekas Menteri Belia dan Sukan ini berkata, beliau telah membelanjakan wang simpanannya sebanyak RM171,675 semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bermula 16 April hingga 8 Mei 2018 lalu.

Bagi mengumpulkan dana PRU, beliau berkata, dua program iaitu ‘Makan Amal Muo’ di Muar, Johor dan ‘Fund-Raising Battle for Johor’ di Ampang, Selangor dibuat pada 7 dan 8 April 2018 dibuat, malah ia berjaya mencapai kutipan sebanyak RM120,000.

Menurutnya, wang kutipan menggunakan akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) itu kemudiannya disalurkan ke akaun Maybank peribadinya, kerana ia merupakan wang ganti dana yang dibelanjakan untuk kempen PRU14.

Susulan itu, semasa pemeriksaan balas, Wan Shaharuddin mencadangkan, Syed Saddiq tidak memberitahu perkara berkenaan sebelum mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali memasukkan RM120,000 ke akaun Maybank peribadinya.

Beliau turut berkata, Rafiq Hakim memindahkan wang itu kerana dia merupakan pemilik tunggal akaun ABBE.

“Anda tidak tunjuk sebarang resit perbelanjaan bagi kempen PRU14, di Parlimen Muar kepada Rafiq Hakim dan tidak memaklumkan bahawa RM120,000 adalah bayaran balik kepada perbelanjaan kempen tersebut,” katanya.

Syed Saddiq pada mulanya menjawab tidak pasti, kemudian menukar kepada bersetuju dengan cadangan-cadangan tersebut.

Sementara itu, beliau berkata tidak pasti selepas dicadangkan oleh Mohd ‘Afif, bahawa beliau boleh memaklumkan kepada Rafiq Hakim mengenai perbelanjaan yang digunakan untuk kempen berkenaan.

Mohd ‘Afif: Anda boleh tunjukkan dan beritahu Rafiq Hakimkan?

Syed Saddiq: Tidak pasti, kenapa saya perlu tunjukkan pada dia?

Mohd ‘Afif: Bukankah dia Penolong Bendahari Armada Bersatu?

Syed Saddiq: Dia tidak pernah terlibat dalam kempen saya malah masa PRU, dia berada Perlis untuk kempen pemimpin lain.

Gobind kemudiannya menyoal semula anak guamnya itu berhubung perkara terbabit dan Syed Saddiq menjawab, Rafiq Hakim hanya meminjamkan akaun banknya untuk memasukkan dana tersebut bagi kutipan amal.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung Jumaat.