Bapa mengaku salah tumbuk, tendang anak lelaki 12 tahun

Tertuduh (tengah) dibawa Mahkamah Majistret Gerik pada Selasa.
Tertuduh (tengah) dibawa Mahkamah Majistret Gerik pada Selasa.
A
A
A

GERIK - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memukul anak lelakinya berusia 12 tahun, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 37 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Savinder Singh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, duda dua anak itu dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas anak kandung di sebuah rumah di Gerik dalam daerah Hulu Perak sekitar jam 5 petang pada 29 Oktober 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Atiyah Shafiee menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Murni Che Mood memohon jaminan paling ringan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap kerana bekerja sendiri selain masih menanggung dua anak dan ibu bapa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November ini sebagai sebutan semula kes dan serahan laporan perubatan mangsa.

Pada hari kejadian, tertuduh dikatakan secara tiba-tiba menumbuk dan menendang bahagian belakang badan kanak-kanak itu serta melibas parang yang berada di tangannya hingga hampir mengenai mangsa.

Artikel Berkaitan:

Tindakannya itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang badan dan paha sebelum satu laporan polis dibuat ahli keluarga.

Pada Isnin, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas kesalahan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang tanpa sebarang maksud yang sah.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.