Anwar putuskan sertai APEC 2023 di Amerika Syarikat

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyampaikan ucapan semasa majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyampaikan ucapan semasa majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan untuk menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) yang bermula hujung minggu ini, ketika terdapat desakan untuk beliau tidak menyertainya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan untuk menyertai persidangan itu adalah bagi menjaga kepentingan negara dari pelbagai sudut hubungan diplomatik, keselamatan dan ekonomi, serta menegaskan bahawa beliau tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan perjuangan rakyat Palestin.

Menyedari keputusan itu pasti tidak menyenangkan semua pihak, namun Anwar berharap, beliau tidak dihukum sebagai pro Israel kerana hadir ke persidangan berkenaan, yang difahamkan setakat ini akan dihadiri semua negara Asia atas jemputan Presiden AS, Joe Biden.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bergambar bersama warga kerjanya selepas majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama
Anwar yang juga Menteri Kewangan bergambar bersama warga kerjanya selepas majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan hari ini. - Foto Bernama

"Bagi saya keutamaan (adalah) jaga hubungan diplomatik dan keamanan, walaupun (pada masa yang sama) tidak berganjak dalam pertahan keadilan dan sokong perjuangan hak rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

"Saya sebagai perdana menteri nak jaga kepentingan negara ini, nak jaga keselamatan, ekonomi dan kesenangannya,” katanya yang mengakui wujud desakan agar beliau tidak menyertai APEC 2023 itu.

APEC merupakan forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, dan pada tahun ini ia akan berlangsung di San Francisco dari 11 hingga 17 November.

Artikel Berkaitan:

Kesemua 21 ekonomi negara anggota APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada populasi global, hampir 50 peratus daripada perdagangan global dan lebih daripada 60 peratus eksport barangan AS.

Anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

Anwar berkata keutamaan Malaysia untuk Palestin adalah keamanan serta bantuan kemanusiaan bagi membantu kehidupan rakyat negara itu yang terjejas.

Perdana Menteri seterusnya menyarankan kepada mereka yang prihatin agar berusaha menambah kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang kini berjumlah RM100 juta, dan kerajaan akan pastikan kiriman sumbangan itu sampai kepada penduduk Palestin di Gaza menerusi badan yang boleh dipercayai.

Tabung AAKRP yang diselia Kementerian Luar diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza yang menjejaskan kehidupan penduduk Palestin di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Anwar turut meminta semua pihak dalam negara tidak mempolitikkan isu Palestin-Israel.

"Saya lihat kadang-kadang polemik parti dan golongan ekstrem agak melampau. Sudahlah, dalam isu Gaza ini, kita berpakatlah bersama, orang dibunuh, anak-anak kecil mati, fikirlah bersama bagaimana nak membantu," katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. - Bernama