APEC 2023: Malaysia akan suarakan isu Palestin sebaik mungkin - Anwar

Anwar berucap ketika merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 di Kuala Lumpur Convention Center pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar berucap ketika merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 di Kuala Lumpur Convention Center pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam menyuarakan pandangan berhubung krisis Palestin-Israel pada sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa perkembangan berkaitan krisis itu perlu dibincangkan terlebih dahulu.

"Kita akan bincangkan beberapa perkembangan dan akan kita jalankan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023) di sini pada Rabu.

Anwar berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media sama ada beliau akan menggunakan pentas APEC 2023 untuk menyuarakan isu kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin.

Semalam, Anwar mengesahkan beliau akan menghadiri APEC 2023 biarpun terdapat desakan supaya beliau tidak menghadiri persidangan terbabit.

Perdana Menteri menegaskan beliau perlu menjaga hubungan diplomatik, keamanan dan ekonomi namun pada masa sama, Malaysia kekal tidak berganjak dari sudut mempertahankan keadilan dan menyokong perjuangan hak rakyat Palestin.

APEC adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, yang akan bersidang di San Francisco bermula 11 hingga 17 November ini.

Terdahulu, Anwar merasmikan PIPOC 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sejak semalam hingga esok, yang menghimpunkan lebih 100 penceramah serta sekitar 2,000 peserta dari seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

PIPOC 2023 menjadi platform perkongsian pandangan, trend ekonomi dan pertukaran teknologi terkini dalam industri sawit selain mengetengahkan lebih 400 pempamer daripada pemain industri itu. - Bernama