Qunut Nazilah: MP Parit Buntar, Hulu Langat diarah keluar dewan

Mohd Sany (atas, kanan) dan Mohd Misbahul Munir (atas, kiri) ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
Mohd Sany (atas, kanan) dan Mohd Misbahul Munir (atas, kiri) ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) dan, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) keluar dewan selepas mencetuskan kekecohan.

Tindakan itu dibuat susulan isu guru diugut kerana menyokong pembangkang dan dakwaan pelajar sekolah agama tidak dibenarkan melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazilah oleh Menteri Hal Ehwal Agama.

Johari mengarahkan kedua-dua wakil rakyat itu keluar dewan selama sehari dan dibenarkan memasuki dewan semula pada Selasa.

"Saya minta dua-dua keluar pergi minum kopi, hari ini sahaja esok masuk semula," katanya.

Kekecohan itu bermula ketika sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri yang mana Mohd Misbahul mendakwa guru diugut berikutan menyokong parti pembangkang pada pilihan raya.

Beliau berkata, guru sepatutnya diberikan hak untuk berpolitik dan menyokong pembangkang selagi mereka tidak lupa akan tanggungjawab sebagai pendidik.

Susulan itu, Mohd Sany mencelah dengan menyatakan bahawa seorang guru tidak boleh berpolitik di sekolah dan hanya dibenarkan jika di luar tugas.

Tindakan mencelah itu telah menjadi pertikaian apabila Ahli Parlimen Parit Buntar mendakwa Mohd Sany tidak tahu peraturan Dewan Rakyat kerana bangkit tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Tanpa berlengah Mohd Misbahul menyambung perbahasan dan berharap agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar untuk tidak menghalang pelajar di sekolah agama melaungkan takbir dan doa Qunut Nazilah.

“Saya minta pandangan Menteri Hal Ehwal Agama, untuk doa Qunut Nazillah dan takbir yang tidak dibenarkan oleh Menteri Pendidikan. Saya harap Menteri Hal Ehwal Agama tidak menghalang pelajar sekolah agama melaungkan takbir dan doa Qunut Nazilah kerana ia diajar oleh sunnah Rasulullah SAW.

“Takbir ialah laungan membesarkan ALLAH SWT, maknanya ALLAH, mengapa ia tidak dibenarkan ketika Palestin ditimpa musibah?” soalnya.

Susulan itu, Mohd Sany bangkit dan menyatakan bahawa Ahli Parlimen Parit Buntar mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan fitnah dalam Dewan Rakyat.

“Peraturan Speaker, mengelirukan apa yang dikatakan mengelirukan, fitnah dalam dewan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mencelah dengan menyatakan dakwaan terbabit tidak benar dan mengelirukan dewan dengan kenyataannya berkenaan.