Tujuh peratus kilang tanpa kebenaran buat pemutihan di Selangor

Suee Lim (duduk, tengah) pada sesi town hall antara pemilik dan pengusaha KTK bersama pihak berkuasa tempatan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 13 di Shah Alam pada Isnin.
Suee Lim (duduk, tengah) pada sesi town hall antara pemilik dan pengusaha KTK bersama pihak berkuasa tempatan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 13 di Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya tujuh peratus dari 7,221 kilang tanpa kebenaran (KTK) di Selangor membuat proses pemutihan walaupun pelbagai bantuan, insentif dan galakan diberikan kerajaan negeri sejak 2006.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, masih terdapat banyak kilang beroperasi di kawasan tidak dibenarkan atau beroperasi tanpa lesen sah atas pelbagai sebab.

Malah beliau turut memaklumkan rekod juga mendapati, saban tahun berlaku peningkatan jumlah KTK di negeri berkenaan menjadikan jumlah KTK keseluruhan melebihi 7,000 buah kilang kesemuanya.

"Setakat ini inventorinya (KDK) lebih 7,000, kita hanya berjaya (putihkan) tujuh peratus maknanya tidak sampai 1,000 kita sudah putihkan 100 peratus sejak 2006, (selepas) tujuh kali kita lanjut (proses pemutihan).

"Antara tiga sebab utama menjadi halangan ialah pengusaha ramai yang rasa selesa dan meniaga di situ tidak menyahut saranan, kedua kerana gagal untuk mendapat kebenaran tertentu dari pihak berkuasa dan ketiga ialah tiada kerjasama membabitkan pemilik tanah dan pengusaha kilang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai sesi town hall antara pemilik dan pengusaha KTK bersama pihak berkuasa tempatan di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 13 di sini pada Isnin.

KTK adalah kilang yang ada lesen perniagaan sementara tetapi belum memenuhi syarat teknikal seperti status tanah, pengezonan atau kebenaran merancang namun bukan kilang menjalankan aktiviti haram.

Suee Lim bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan memberi tempoh kepada pemilik KTK di Selangor terutamanya beroperasi di atas tanah pertanian untuk segera membuat proses pemutihan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri Selangor sentiasa mendengar kekangan ekonomi semasa dan sumbangan semua pengusaha industri terbabit yang dikategorikan sebagai KTK.

Sehubungan itu, beliau meminta apabila dasar baharu dirangka pada tahun hadapan ia seharusnya mendapat sambutan dan kerjasama menyeluruh daripada semua pengusaha atau pemilik kilang di negeri berkenaan.