Pan-gon dijangka kekal kemudi Harimau Malaya

Pan-gon (tengah).
Pan-gon (tengah).
A
A
A

PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dijangka terus kekal mengemudi Harimau Malaya walaupun belum menandatangani kontrak baharu dengan tempoh perkhidmatannya dijangka tamat pada Januari tahun depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, perbincangan dalam Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sudah dilakukan dan sebarang keputusan mengenai kontrak Pan-gon akan diumumkan nanti.

Malah, beliau berkata, Pan-gon juga sudah merangka segala perancangan untuk membawa pasukan mengharungi semua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sehingga tahun depan.

"Ia dalam jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan dan pengerusinya adalah Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin). Ia akan dibincangkan dalam jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan.

"Akan ada keputusan dan kita akan umumkan nanti. Insya-ALLAH masa depan beliau dah tentu. Dah ada perbincangan namun, bagi kita selesaikan kelayakan (Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027) dulu.

"Pan-gon juga sudah merangka segala program sehingga tahun depan," katanya dalam Sidang Akhbar selepas Mesyuarat Kesembilan Jawatankuasa Eksekutif FAM Bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.

Pan-gon dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada 21 Januari tahun lalu dan mengikat kontrak selama dua tahun dan akan berakhir pada awal tahun depan.

Pengendali dari Korea Selatan itu telah terbukti berjaya membawa Harimau Malaya meraih banyak keputusan positif dalam aksi antarabangsa termasuk mengikat pasukan di ranking lebih baik iaitu China dan Syria selain menewaskan India di Pestabola Merdeka baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Malah, ranking skuad negara juga naik mendadak daripada tangga ke-148 dunia ke ranking ke-137 dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!