Mayat lelaki ditemui dalam timbunan sampah di sungai

Mayat seorang lelaki warga tempatan ditemui tersangkut dalam longgokan sampah di tebing Sungai Kinta dekat Malim Nawar pada Ahad. - Foto: Pembaca
Mayat seorang lelaki warga tempatan ditemui tersangkut dalam longgokan sampah di tebing Sungai Kinta dekat Malim Nawar pada Ahad. - Foto: Pembaca
A
A
A

KAMPAR - Mayat seorang lelaki warga tempatan ditemui tersangkut dalam longgokan sampah di tebing Sungai Kinta dekat Malim Nawar di sini pada Ahad.

Keadaan mangsa, Chong Wai Kee, 39, itu disedari orang awam yang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan sekitar jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mayat mangsa dalam keadaan tertiarap dan lengkap berpakaian itu telah dibawa naik oleh anggota bomba.

"Pemeriksaan awal dilakukan tidak menemui sebarang butiran pengenalan diri, malah tiada kecederaan berunsurkan jenayah ditemui pada mayat mangsa.

"Tanda-tanda lain dijumpai pada mangsa ialah pakaian, dua bentuk cincin di jari telunjuk bertulis 'My Love, Your Love' dan 'e&a' serta cincin yang dipakai di jari hantu," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pakaian baju-T berwarna hitam dengan tulisan 'Cookkeng' yang merujuk tempat mangsa dipercayai bekerja telah membantu polis mengesan identiti mangsa.

Katanya, polis kemudiannya telah memanggil ahli keluarga untuk membuat pengecaman sebelum mengesahkan identiti mangsa.

"Ahli keluarga ada membuat laporan polis kehilangan mangsa pada 4 November lepas. Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel Berkaitan:

"Laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kampar mengesahkan mangsa mati akibat lemas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!