Mayat lelaki berperwatakan wanita ditemukan

Mayat ditemui dalam kawasan terowong pejalan kaki dan motosikal di Jalan Perkasa Taman Tampoi Utama, Johor Bahru pada Ahad.
Mayat ditemui dalam kawasan terowong pejalan kaki dan motosikal di Jalan Perkasa Taman Tampoi Utama, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Satu mayat seorang lelaki berperwatakan wanita ditemukan di kawasan terowong pejalan kaki dan motosikal di Jalan Perkasa, Taman Tampoi Utama, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, orang awam yang menemukan mayat tersebut kemudian menghubungi pihak polis pada jam 7 pagi.

"Siasatan polis menemui mayat tersebut lengkap berpakaian wanita dengan terdapat kesan kecederaan di kepala dan muka.

"Hasil penemuan itu, polis percaya kesan kecederaan itu hasil daripada terjatuh dari tebing tinggi di Lebuh Raya Persisiran Perling ke laluan terowong berkenaan.

"Ini kerana terdapat kesan debu dan daun-daun pada tubuh mangsa. Tiada bukti menunjukkan mayat tersebut dibawa dari tempat lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit berusia 30 tahun dan kali terakhir dilihat di sebuah kelab malam di bandar raya ini pada malam sebelum kejadian.

"Polis turut menemukan dompet, kad pengenalan dan telefon bimbit berada bersama-sama mayat.

"Bagaimanapun, kita belum dapat mengenal pasti sama ada lelaki berkenaan mabuk pada hari kejadian kerana masih menunggu laporan kimia berkenaannya.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menghubungi waris lelaki untuk proses pengecaman. Mengikut alamat terakhirnya ialah di Perak," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).