Kaji semula struktur Liga-M

Laporan Sukan Sinar pada 3 November. Gambar kecil: Zainal Abidin
Laporan Sukan Sinar pada 3 November. Gambar kecil: Zainal Abidin
A
A
A

STRUKTUR Liga Malaysia (Liga-M) mungkin perlu dinilai semula susulan kemelut kewangan yang dihadapi beberapa pasukan termasuk yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Penganalisis Sukan Zainal Abidin Rawop berkata, biarpun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakukan perubahan sistem pada musim ini, namun isu tunggakan gaji pemain masih berlarutan.

Beliau berkata, kajian semula itu meliputi aspek keperluan kewujudan kejohanan tersebut untuk mewujudkan kualiti atau kuantiti dalam saingan liga domestik.

“MFL dan FAM kena buat kajian semula, anda nak kualiti atau kuantiti dalam saingan liga.

“Kalau nak kualiti anda kena betul-betul buat pemilihan dan penilaian untuk memberikan lesen kepada pasukan-pasukan yang betul-betul kukuh kedudukan kewangan untuk bermain.

“Kalau nak kuantiti anda boleh jemput semua pasukan bermain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pemilik majoriti saham Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar akhir bulan lalu tampil memohon maaf kepada semua penyokong kelab itu atas masalah kewangan yang mereka hadapi.

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) pula dalam proses untuk membayar gaji para pemain untuk Ogos dan September.

Artikel Berkaitan:

Zainal Abidin berkata, lesen untuk beraksi di peringkat Asia mungkin menjadi beban buat pasukan yang seolah-olah mereka seperti terpaksa tunduk dengan kehendak penganjur.

“Misalnya selain skuad utama, kelab perlu menubuhkan pasukan A, B, C dan D. Sedangkan untuk kendalikan pasukan A pun sudah tak mampu. Stadium pun tiada.

“Macam mana lagi boleh dibantu untuk pastikan bahawa pasukan-pasukan ini dapat sokongan dan sertai Liga Super yang betul-betul berkualiti bukan hanya satu pasukan sahaja di atas yang lain berdepan kesukaran,” katanya.

Justeru Zainal Abidin mencadangkan agar setiap kelab mengambil pendekatan mengukur baju di badan sendiri untuk menyediakan bajet buat pasukan bagi mengharungi Liga-M.

“Andai tak mampu ambil sembilan atau tujuh pemain import, lima sudah memadai dan kemudian cari pemain dari pasukan remaja bagi peluang mereka untuk bermain.

“Apa yang kita risau selepas lima ke enam perlawanan, pasukan terumbang ambing. Buang jurulatih dan kemudian bayar pampasan terutama jurulatih dari luar negara.

“Kita juga terlalu tergesa-gesa nak cari pemain import sebab nak ada pemain luar negara, sedangkan kualiti mereka kita tidak pasti,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!