Pas akan menang PRK Kemaman dengan majoriti besar - MB Kelantan

Mohd Nassuruddin
Mohd Nassuruddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud meletakkan keyakinan tinggi bahawa Pas akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Beliau berkata, jangkaan itu dibuat susulan perubahan corak pengundian dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

“Kini orang Melayu dan Islam di Malaysia ini sudah mulai sedar bahawa satu-satunya parti dalam negara yang boleh diharapkan ialah Pas dan parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Perkara itu dapat dibuktikan apabila setiap PRK dan pilihan raya umum (PRU) Pas mencapai kemenangan. Kalau Pas kalah pun, undi kita meningkat tetapi undi mereka (parti kerajaan) merosot,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berlangsung acara Pidato Empat Menteri Besar iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah sempena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Ideal Convention Centre (IDCC) pada Jumaat.

Jelas beliau, keyakinan masyarakat mulai berubah disebabkan mereka sedar corak perjuangan yang dilaksanakan oleh Pas.

Menurutnya, Pas melakukan pendekatan yang adil seperti yang dituntut oleh ALLAH SWT.

“ALLAH perintah supaya berlaku adil. Apa makna adil? Adil bermaksud meletakkan sesuai pada tempatnya atau beri hak kepada yang berhak.

Artikel Berkaitan:

“Ini yang kita lakukan di Kelantan. Sebagai kerajaan negeri, kita tetap beri peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dan salurkan bantuan kepada kaum dan agama selain Melayu-Islam,” ujarnya.