Tarif air akan naik tanpa kawalan - PPIM

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Datuk Nadzim Johan)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Datuk Nadzim Johan)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan membenarkan operator air di setiap negeri menentukan sendiri tarif air tanpa perlu kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kabinet.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM melihat perkara itu bukan hanya tidak relevan malah bakal membebankan lagi pengguna dan rakyat yang dibebani dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Nadzim berkata, langkah itu juga membuka peluang kepada syarikat operator untuk menaikkan kadar tarif bekalan air sesuka hati mereka tanpa kawalan kerajaan sekali gus menimbulkan lebih banyak masalah kepada pengguna terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dan orang miskin.

“Saya pelik dengan cadangan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk membenarkan operator menentukan sendiri tarif air kerana sebelum ini perkara berkenaan di bawah bidang kuasa SPAN dan Jemaah Menteri.

“Apa guna ada kerajaan tubuh SPAN jika mereka tidak dapat menyelesaikan isu rundingan tarif baru air dengan syarikat operator secara tuntas,” katanya kepada Sinar Premium.

No Image Caption

Tambah beliau, keputusan ‘luar biasa’ tidak perlu dibuat kerana jika tersilap langkah ia akan menyusahkan rakyat dan akhirnya menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa campur tangan jika timbul masalah di kemudian hari.

Nadzim berkata demikian ketika mengulas laporan media bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan operator air di setiap negeri menentukan sendiri mekanisme penetapan tarif air tanpa perlu persetujuan peringkat Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu susulan terdapat rungutan daripada operator air bahawa tarif sedia ada bagi kegunaan bukan komersial tidak naik hampir 40 tahun, sekali gus membebankan mereka untuk menanggung kos penyelenggaraan.

Bagaimanapun, sebelum ini, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersetuju mengekalkan tarif bekalan air bagi kategori domestik (premis kediaman) di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berikutan peningkatan kos sara hidup pada waktu ini.

Berikutan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Jun 2022 bersetuju dengan pelaksanaan pelarasan tarif bekalan air bagi kategori bukan domestik serta kategori khas di Semenanjung Malaysia dan Labuan berkuat kuasa 1 Ogos 2022 membabitkan kenaikan purata sebanyak 25 sen bagi setiap meter padu.