Israel perlu hormat resolusi PBB - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

BAGAN DATUK - Malaysia mendesak Israel menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut pelaksanaan gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Israel perlu menghormati tekanan daripada pihak antarabangsa dengan menghentikan serangan ke atas rakyat Palestin.

"Sepatutnya di Palestin Islam, Kristian dan Yahudi duduk bersama-sama menghormati Masjid al-Aqsa, menghormati penempatan masing-masing bukan dengan cara pencerobohan.

"Hamas bangun kerana tanah mereka diceroboh. Hamas memperjuangkan hak rakyat Palestin, Hamas telah ditekan dan tekanan itu menyebabkan berlaku beberapa tentangan daripada Hamas dan sebelum itu Fatah.

"Kita mahu rakyat Palestin diberikan hak. Kita mahu Israel hentikan peperangan dengan berundur daripada bumi Gaza dan Tebing Barat. Kita mahu hak, tanah dan rumah rakyat Palestin dikembalikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid menyantuni rakyat yang menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk pada Sabtu.
Ahmad Zahid menyantuni rakyat yang menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata, rakyat negara ini harus bersyukur kerana dapat menyantuni perbezaan pendapat dan mewujudkan keharmonian kaum.

"Kita harus mengambil pengajaran di banyak negara biarpun terdiri daripada satu kaum tetapi jika perbedaan pendapat tidak disantuni, maka pertelingkahan akan membawa kepada perang saudara.

Artikel Berkaitan:

"Di Malaysia, keharmonian ini diwujudkan lama sebelum Merdeka tetapi sejak akhir-akhir ini saya lihat ada kecenderungan ke arah pertelingkahan. Solidariti rakyat membantu Palestin hendaklah dicontohi dengan kita mengetepikan perbezaan pendapat dan warna politik selain meraikan perayaan yang disantuni rakyat Malaysia," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kecenderungan berlaku pertelingkahan boleh dielakkan bermula dengan kesedaran daripada pemimpin-pemimpin.

"Pemimpin-pemimpin tidak harus memprovokasi mana-mana pihak, politik atau seteru perkauman dan kesedaran ini perlu ditimbulkan dari sekarang.

"Biarpun ada Kementerian Perpaduan kita jangan harapkan kementerian ini sahaja menjalankan peranannya tetapi rakyat secara keseluruhannya mesti mempunyai kesedaran," katanya.