Zakir Naik derma duit menang saman RM1.52 juta kepada Palestin

Kenyataan yang dikeluarkan Zakir Naik pada Sabtu.
Kenyataan yang dikeluarkan Zakir Naik pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Penceramah dari India, Dr Zakir Naik berhasrat untuk mendermakan sepenuhnya RM1.52 juta saman yang dimenanginya terhadap bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy kepada Palestin.

Zakir dalam satu kenyataan di Facebook turut berharap, usaha yang dibuatnya itu diterima ALLAH SWT.

“Dalam melindungi Masjid al-Aqsa iaitu tapak ketiga paling suci dalam Islam, rakyat Palestin melaksanakan fardhu kifayah (kewajipan bersama) bagi pihak seluruh umat Islam.

“Saya berdoa agar ALLAH memberikan keteguhan dan kemenangan kepada penentangan rakyat Palestin. Semoga Dia meringankan penderitaan saudara kita di sana, menguatkan mereka melawan penindas serta memasukkan syuhada ke darjat tertinggi di syurga,” katanya pada Sabtu.

Pada Khamis lalu, Ramasamy diperintah membayar RM1.52 juta kepada Zakir dalam masa 30 hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman dikemukakan Zakir, empat tahun lalu.

Bekas pemimpin DAP itu selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ramasamy untuk menangguhkan permohonan maaf kepada Zakir dan menetapkan tarikh 1 Disember depan untuk prosiding pendengaran berhubung isu berkenaan.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Hakim Hayatul Akmal berkata, mahkamah mendapati Ramasamy gagal membuktikan kewajaran penerbitan kenyataannya terhadap Zakir.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kenyataan berbaur dendam dengan niat jahat itu berlaku lebih tiga tahun, iaitu bermula 10 April 2016 hingga 8 November 2019.