MAIPs sumbang RM1.12 Juta kepada umat Islam di Palestin

Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) menyempurnakan majlis simbolik penyerahan sumbangan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Tuanku Syed Faizuddin (dua dari kiri) menyempurnakan majlis simbolik penyerahan sumbangan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra.
A
A
A

KUALA PERLIS - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan Fi Sabillilah Misi Kemanusiaan MAIPs ke Gaza sebanyak RM1.12 Juta kepada umat Islam di Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, majlis simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Jalan Kuala Perlis di sini.

Katanya, MAIPs telah bersetuju menyampaikan sumbangan ini di bawah peruntukan ‘Fi Sabilillah’ yang jelas dan selari dengan tujuan agihan zakat serta bekerjasama dengan Wisma Putra dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memudahkan urusan sumbangan ini.

"Sumbangan berkenaan terdiri daripada RM1 juta dana sedia ada MAIPs selain RM120,000 sumbangan masyarakat dan NGO melalui Tabung Aqsa MAIPs," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Jelas Mohd Nazim, agihan sumbangan dan bantuan ini akan diserahkan melalui Tabung Musaadah Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia dan akan diagihkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenal pasti dapat menyampaikan bantuan secara terus kepada penduduk Gaza.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang DiPertua MAIPs turut mengingatkan rakyat negeri Perlis yang ingin membuat sumbangan hanya menyalurkan sumbangan kepada pihak-pihak yang telah diberikan tanggungjawab oleh kerajaan untuk menyampaikan sumbangan secara terus kepada saudara Islam di Gaza.

Baginda menzahirkan agar rakyat Malaysia akan terus bersolidariti untuk rakyat Palestin tanpa mengira agama dan bangsa serta memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

“Meskipun kita tidak dapat membantu di sana secara fizikal, doa dan hati kita akan sentiasa bersama mereka”, titah tuanku.

Artikel Berkaitan:

Di program yang sama baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM400 setiap seorang kepada seramai 20 asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut dengan jumlah keseluruhan RM8,000.