Krisis Gaza: Grab sumbang RM1 juta melalui MERCY Malaysia

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM - Simpati dengan penduduk Gaza, Palestin dan serangan keganasan yang mengancam kemanusiaan, Grab Malaysia berganding bahu dengan MERCY Malaysia untuk menghulurkan sumbangan ke Tabung Bantuan Palestin.

Bantuan kewangan bernilai RM1 juta kepada MERCY Malaysia itu bagi mengatasi keperluan mendesak yang dihadapi oleh komuniti rentan yang terjejas di Gaza, berikutan konflik yang berterusan.

Grab dalam satu kenyataan berkata, pengguna Grab juga boleh menyumbang melalui GrabPay atau menukar GrabRewards mereka untuk menyokong usaha MERCY Malaysia, sekaligus menyumbang untuk membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan individu yang terjejas.

“Grab Malaysia turut menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal bagi mereka yang terjejas dengan membantu menyediakan akses kepada perubatan, makanan, bekalan air dan pelbagai lagi, dan mengutamakan kesejahteraan mereka.

“Ia juga menekankan komitmennya kepada prinsip kemanusiaan dan keamanan, dan secara keras menentang sebarang keganasan yang melanggar hak asasi manusia. Syarikat ini menyokong sebarang usaha yang membawa kepada keamanan yang berkekalan serta adil,”katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, Grab Malaysia dan MERCY Malaysia sedang bekerjasama untuk mewujudkan program dan inisiatif yang mampan dalam memastikan kesan positif yang berkekalan kepada pelbagai komuniti yang terjejas dengan menyasarkan pemulihan segera, daya tahan dan sokongan jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

“Bermula 8 November ini hingga 8 Mei 2024, Grab akan memadankan jumlah yang didermakan kepada Tabung Bantuan Palestin MERCY Malaysia melalui GrabRewards, sebagaimana pelaksanaan sumbangan amal melalui GrabRewards sebelum ini,”katanya.

Grab Malaysia telah menjalin kerjasama yang erat dengan MERCY Malaysia sejak 2021, menerusi pembabitan dalam pelbagai bantuan kemanusiaan di Malaysia, termasuk tabung bantuan banjir serta pengurusan bencana.