Penyokong TFC, KL City bersolidariti bersama Palestin

Kibaran bendera gergasi Palestin di tengah lautan ribuan manusia di stadium.
Kibaran bendera gergasi Palestin di tengah lautan ribuan manusia di stadium.
A
A
A

KUALA NERUS - Penyokong Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) menunjukkan tanda solidariti terhadap Palestin dengan mengibarkan bendera negara itu semasa perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Lebih 25,000 penyokong yang hadir di stadium berkenaan mengibarkan bendera Palestin dan sepanduk sebagai tanda sokongan kepada rakyat di negara berkenaan yang ditindas rejim Zonis.

Lagu 'Demimu Palestin' turut dinyanyikan penyokong di dalam stadium selain melaungkan slogan bagi menunjukkan sokongan terhadap Palestin sebelum berlangsungnya perlawanan.

Antara penyokong yang hadir menunjukkan tanda solidariti terhadap Palestin dengan mengibarkan bendera negara itu
Antara penyokong yang hadir menunjukkan tanda solidariti terhadap Palestin dengan mengibarkan bendera negara itu

TFC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Dengan kemenangan itu TFC bakal berdepan dengan penyandang juara Piala Malaysia musim lalu, JDT pada final Piala Malaysia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 9 Disember depan.

Setakat ini lebih 9,000 penduduk Palestin terkorban dalam pengeboman Israel, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Rakyat Palestin kini berdepan krisis 'pembunuhan beramai-ramai' selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel.

Artikel Berkaitan:


TFC layak meraih kemenangan - Steinbruckner

Dalam perkembangan berasingan, pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner menyatakan pasukannya layak meraih kemenangan selepas berjaya menundukkan 2-1 ke atas KL City dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak meskipun mendapat tentangan sengit pada awal permainan.

"Kami bekerja keras dari awal musim, ada perlawanan yang baik dan ada juga tidak baik tetapi hari ini kami dapat kalahkan KL City.

"Selain itu, Ivan Mamut merupakan seorang pemain yang baik tetapi kita juga ada ramai pemain terbaik dalam pasukan.

"Kesemua pemain layak mendapat pujian dan kita lihat nanti bagaimana persediaan mereka untuk hadapi final nanti," katanya.

Steinbruckner.
Steinbruckner.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya perlawanan itu di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Steinbruckner menyatakan masih terlalu awal untuk menceritakan tentang aksi menentang JDT namun pihaknya akan melakukan persediaan bagi memastikan tentangan baik dapat diberikan kepada penyandang juara Piala Malaysia itu.

"Kami kenal JDT dan akan menentang pasukan terbaik. Kami juga tahu kualiti pasukan kami macam mana.

"Kami usaha untuk lakukan persiapan dan pastikan bermain dengan perlawanan yang baik. Buat masa ini kami harapkan sokongan daripada penyokong TFC.

"Jadi diminta kesemua peminat dapat hadir beri sokongan pada TFC semasa final yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti," ulasnya.