PLKN 3.0: Belia saran pengambilan pelatih belasan tahun sahaja

Gambar hiasan. Gambar kecil dari kiri: Hazira, Nurhafeezha, Mohamad Reza, Rafika
Gambar hiasan. Gambar kecil dari kiri: Hazira, Nurhafeezha, Mohamad Reza, Rafika
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta mengekalkan pengambilan pelatih berusia belasan tahun bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 meskipun Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) membolehkan mereka yang terpilih membuat penangguhan sehingga berusia 35 tahun.

Bagaimanapun, kaedah penyertaan secara sukarela wajar diperkenalkan bagi memberi peluang kepada bakal pelatih yang mahu terlibat dalam program kenegaraan itu.

Seorang penjawat awam, Hazira Abd Rahman, 34, berkata, dia menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mengembalikan PLKN dengan pengambilan pelatih bermula usia 16 tahun.

Namun katanya, tempoh masa sehingga usia 20-an adalah memadai sekiranya pelatih terpilih tidak dapat menyertai PLKN sejak awal.

“Wajar beri pengecualian kepada mereka yang sudah bekerja dalam badan beruniform. Selain tu, jika nak libatkan mereka yang berusia 30-an sudah tidak sesuai.

“Pada usia seperti kami kebanyakan sudah berkerjaya, berkeluarga dan mempunyai komitmen peribadi yang lebih penting,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

No Image Caption

Usahawan, Rafika Yusof, 35, juga senada mahu keutamaan pengambilan PLKN 3.0 dibuat melibatkan remaja belasan tahun atau awal 20-an khususnya berstatus bujang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pelbagai isu dan masalah akan timbul sekiranya kerajaan terlalu bertegas memberikan tempoh penangguhan sehingga berusia 35 tahun untuk peserta terpilih menjalani program tersebut.

“Jika dilaksanakan semula, fokus kepada belia lepasan sekolah menengah lebih baik.

“Golongan ini kebanyakannya tidak mempunyai komitmen besar berbanding yang berusia 30 tahun ke atas.

"Kelonggaran perlu diberikan kerana stamina pun tak macam orang muda lain,” katanya.

Modul dalam PLKN perlu bersesuaian dengan lepasan SPM dan belia yang sudah berkerjaya. Gambar hiasan.
Modul dalam PLKN perlu bersesuaian dengan lepasan SPM dan belia yang sudah berkerjaya. Gambar hiasan.

Dalam pada itu, pensyarah, Nurhafeezha Ali, 33, pula berpandangan PLKN 3.0 sesuai diwajibkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, bagi belia yang telah berkerjaya dan mempunyai komitmen masing-masing, boleh diberi pilihan untuk menyertai secara sukarela.

“Namun, modul dalam PLKN perlu bersesuaian dengan lepasan SPM dan belia yang sudah berkerjaya.

“Majikan juga perlu memberi pelepasan khas kepada mereka yang bekerja dalam sektor swasta sebagai salah satu insentif latihan dan galakan kepada pekerja,” katanya.

Sementara itu, perunding hartanah, Mohamad Reza Sulaiman, 33, menyambut baik perlaksanaan semula PLKN namun kerajaan perlu membentangkan mekanisme perlaksanaannya dengan jelas khususnya kepada golongan sudah bekerja.

Ujarnya, ini kerana peserta terpilih juga bakal mempunyai kerjaya masing-masing dalam tempoh membuat penangguhan penyertaan sebagai pelatih PLKN.

“Lebih baik kekalkan pengambilan libatkan remaja belasan tahun sahaja tetapi bagi saya, penyertaan secara sukarela kaedah terbaik untuk golongan belia yang sudah bekerja.

“Tapi kerajaan kena beri elaun yang setimpal supaya tak membebankan, sebab setiap orang ada komitmen masing-masing termasuk ada terpaksa kerja pada usia muda untuk sara keluarga,” katanya.