15 pertubuhan pelajar sokong minggu Solidariti Palestin

12 pertubuhan pelajar di negara ini yang menyokong program Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).
12 pertubuhan pelajar di negara ini yang menyokong program Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan 15 pertubuhan pelajar di seluruh negara menyokong pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan itu berkata, penganjuran tersebut bertepatan dengan usaha penerapan elemen pendidikan kewarganegaraan global.

“Kami menyambut baik dan menyatakan sokongan kami berkenaan pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Program ini memberi penekanan soal memberi peluang kepada pelajar daripada setiap lapisan usia untuk berperanan secara aktif dalam membangunkan masyarakat yang lebih aman, toleran dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS), Persatuan Pelajar Islam Melaka (PEPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP).

Selain itu, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Pulau Mutiara (PEMBIMBING), Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ), Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) dan Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN).

Manakala, PKPIM Sabah, PKPIM Kedah, PKPIM Terengganu, PKPIM Perlis dan PKPIM Kelantan turut menyokong program tersebut dilaksanakan.

Pada 26 Oktober lalu, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, Minggu Solidariti Palestin bertujuan mendidik murid tentang nilai kemanusiaan yang merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan termasuk keprihatinan terhadap penderitaan individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, program tersebut adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik kerana ia berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan.

Mengulas lanjut, kumpulan pelajar tersebut berkata, program itu mampu memberi pendedahan kepada pelajar dan guru berkaitan isu semasa global.

Ujarnya, bagi memastikan tidak timbul sebarang polemik, pihak penganjur perlu menambah baik pengisian acara itu supaya tidak merugikan masyarakat awam.

“Menerusi Minggu Solidariti Palestin ini juga, kami berharap pelajar dan guru dapat diberi pendedahan nilai keprihatinan isu semasa selain membugar nilai ihsan serta tanggungjawab sosial kepada warga global.



“Penganjuran program seumpama ini wajar disokong termasuk pelbagai kegiatan yang mempromosikan mesej keamanan sejagat dan kemanusiaan wajar diteruskan,” katanya.