Kelantan nafi tak cukup pemain

Kelantan dibelasah Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh baru-baru ini.
Kelantan dibelasah Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh baru-baru ini.
A
A
A

KELANTAN FC menafikan dakwaan berdepan masalah kekurangan pemain bagi menghadapi aksi Liga Super menentang Sabah FC pada Jumaat sehingga menjadi faktor perlawanan itu terpaksa ditangguhkan.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, Sabah meminta penangguhan tersebut kerana menghadapi kekangan untuk bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Menurut Muzakkir, beliau meminta penyokong The Red Warriors tidak berfikiran negatif walaupun Kelantan kini sedang bergelut dengan prestasi yang tidak menentu susulan masalah pembayaran gaji kepada pemain.

“Sabah minta tangguh kerana mereka ada kekangan dari segi penerbangan. Tarikh baharu untuk perlawanan tersebut akan dilangsungkan masih belum ada kata putus.

“Penangguhan ini tidak ada kaitan dengan Kelantan tidak mempunyai pemain yang cukup dan saya meminta penyokong Kelantan supaya tidak terlalu negatif terhadap pasukan.

“Apabila keluar mengenai penangguhan perlawanan menentang Sabah, ramai yang cepat hukum kami kata kami yang bermasalah," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebelum ini, Kelantan FC berdepan masalah tunggakan gaji pemain yang menyaksikan ramai pemain mereka 'angkat kaki' daripada pasukan Pantai Timur itu.

Malah, mereka juga dilaporkan terpaksa menggunakan pemain daripada skuad pembangunan untuk beraksi dalam Liga Super, sekali gus menjadi mangsa belasahan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muzakkir meminta penyokong Kelantan untuk terus memberikan sokongan kepada skuad kendalian Alfredo Vera selepas mereka kini menduduki tangga tercorot Liga Super.

“Semua sudah maklum masalah (tiada pemain utama) kami dan masalah inilah yang membebankan tidak dapat bersaing sehingga dibelasah. Kalau nak kata gaji tertunggak, tunggakan itu baru beberapa bulan.

“Ada pemain yang sudah dibayar dan ada sesetengah belum dibayar... kami selesaikan peringkat demi peringkat.

"Kami juga memohon maaf kepada penyokong dan sudah tentu akan cuba bangkit," jelasnya.