Piala Malaysia: Penyokong diminta tidak timbulkan kekecohan

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin - Foto Bernama Gambar kecil: Abdul Rahim
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin - Foto Bernama Gambar kecil: Abdul Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penyokong bola sepak yang hadir ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sempena perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Jumaat ini dinasihatkan untuk tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan kesalahan dan melanggar peraturan ditetapkan.

Menurutnya, pihak polis juga akan menempatkan seramai 400 pegawai dan anggota bagi menjaga keselamatan dan mengawal ketenteraman awam sepanjang perlawanan antara Terengganu FC (TFC) menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.

"Penyokong kedua-dua pasukan diminta untuk tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan kekecohan sebelum dan selepas perlawanan dengan cara menganjurkan perhimpunan, perarakan atau membuat provokasi, pergaduhan, merusuh atau nyanyian dalam bentuk sindiran atau hinaan.

"Mereka juga dilarang menyalakan suar dan sebagainya.

"Tindakan keras akan diambil terhadap sebarang pelanggaran undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut Abdul Rahim, pemeriksaan akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium sebagai langkah keselamatan.

"Penonton dilarang membawa masuk barangan terlarang antaranya mercun, bunga api, suar, dinamit, topi keledar, botol air, botol kaca, tin minuman, laser, mancis, pemetik api dan power bank.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga dilarang membawa objek tajam sama ada besi, kayu atau senjata tajam seperti pisau, parang dan gunting.

"Selain itu, minuman keras, payung, tongkat, dron, sebarang alatan pembesar suara atau alat peniup yang mengeluarkan bunyi bising juga dilarang sama sekali," katanya.

Jelas beliau, polis trafik akan ditempatkan untuk mengawal aliran trafik di sekitar kawasan stadium bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

TFC dijadualkan menentang KL City FC jam 9 malam pada Jumaat ini selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas pasukan sama pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 21 Oktober lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!