Terengganu FC mara ke final Piala Malaysia

Pemain Terengganu FC Ivan Mamut (tengah) meraikan jaringan bersama pasukan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. - Foto Bernama.
Pemain Terengganu FC Ivan Mamut (tengah) meraikan jaringan bersama pasukan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. - Foto Bernama.
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) menempah tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2 selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Dengan kemenangan itu TFC bakal berdepan dengan penyandang juara Piala Malaysia musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Beraksi di hadapan lebih 25,000 penonton, pasukan tuan rumah bermula garang dengan melancarkan serangan seawal minit ke-9 menerusi Liridon Krasniqi namun tendangannya sedikit tersasar ke kanan gawang.

Pada minit ke-13, percubaan daripada Sony Norde ke gawang lawan berjaya ditampan penjaga gol, Kevin Mendoza.

Setelah itu rembatan oleh kapten pasukan tuan rumah Habib Haroon tiga minit kemudian hampir meledak gol pertama namun berjaya ditepis penjaga gol lawan.

Pasukan pelawat yang tertekan bangkit melakukan serangan balas dan beroleh satu-satunya peluang pada minit ke-36, namun tandukan Paulo Josue sedikit tinggi melepasi palang.

Serangan bertali arus TFC akhirnya membuahkan hasil apabila Ivan Mamut menjaringkan gol pertama skuad Penyu pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, KL City tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudulan apabila skuad bimbingan Menad Bacina berjaya menjaringkan gol pada minit ke-51 hasil tandukan penyerang import, Romel Morales.

Artikel Berkaitan:

TFC yang terus menguasai perlawanan berjaya mengandakan jaringan pada minit ke-67 menerusi Mamut untuk meletakkan pasukan tuan rumah kembali di hadapan menerusi jaringan 2-1.

Gol kedua tuan rumah diperoleh menerusi Mamut yang melakukan rembatan daripada dalam kotak penalti.

Keputusan kekal dengan TFC mendahului KL City 2-1 hingga akhir perlawanan.