Sepak mula Liga Bola Sepak Afrika dijangka Oktober

Gianni Infantino
Gianni Infantino
A
A
A

PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan sepak mula kejuaraan Liga Bola Sepak Afrika menyingkap tirainya pada 20 Oktober depan.

Presiden FIFA, Gianni Infantino ketika mengesah perkara itu berkata, pertandingan dikurangkan secara drastik daripada cadangan asal 24 pasukan kepada lapan selepas Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) mengumumkan kerugian tahun kewangan 2022-23.

“Ia akan mempunyai lapan pasukan yang hebat, yang akan diikuti pada masa hadapan dengan versi yang lebih besar.

“Kami perlu melabur dalam bola sepak kelab Afrika dan juga bola sepak pasukan kebangsaan.

"Ia adalah tanggungjawab, tugas dan cabaran buat kami. Namun dengan kerja dan sumbangan semua sebagai satu pasukan, kami akan berjaya," kata Infantino kepada perwakilan pada Perhimpunan Agung CAF di Abidjan, Ivory Coast.

Tidak banyak diketahui mengenai pertandingan yang lebih kurang tiga bulan akan bermula awalnya dikenali Liga Super Afrika dengan CAF masih belum mengesahkan secara rasmi pasukan yang mengambil bahagian.

Namun media difahamkan lapan pasukan itu adalah juara Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns, yang dimiliki keluarga presiden CAF, Patrice Motsepe; Petro Atletico dari Angola, TP Mazembe (Republik Demokratik Congo), Al Ahly (Mesir), Horoya (Guinea), Wydad Casablanca (Maghribi), Simba (Tanzania) dan Esperance (Tunisia).

Namun butiran mengenai penyiar, penaja dan logistik juga masih belum diketahui buat masa ini.

Pertandingan ini akan berjalan serentak dengan Liga Juara-Juara CAF untuk pemenang liga domestik.

Dalam beberapa tahun sebelum ini Motsepe menegaskan mengenai keperluan untuk menambah baik 'produk' bola sepak Afrika bagi menjadikannya lebih menarik kepada penonton global, dengan liga baharu dikatakan menjadi kunci kepada itu.

"Kami telah mengiktiraf selama bertahun-tahun bahawa pemain bola sepak Afrika adalah antara yang terbaik di dunia.

"Namun kami perlu meningkatkan daya tarikan bola sepak Afrika, daya maju komersialnya dan keupayaannya untuk mengekalkan dirinya," kata Motsepe kepada perwakilan CAF.