Cari semula 'prestasi emas'

Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
A
A
A

KEPUTUSAN mengugurkan beberapa atlet program Road to Gold (RTG) selepas tidak mencapai prestasi ditetapkan untuk dikekalkan dalam program elit itu sebagai tindakan tepat setelah gagal mempamerkan prestasi emas.

Malah, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa mahu keputusan Jawatankuasa RTG mengugurkan skuad hoki lelaki negara dan dua wakil beregu badminton campuran negara tidak dipersoalkan selaras matlamat asal program itu.

Sebaliknya, tegas Mohd Sadek, ia sesuatu yang perlu diterima atlet atau pasukan secara terbuka untuk kembali bangkit semula ke prestasi sebelum ini untuk dimasukkan semula dalam program tersebut.

“Justifikasi untuk pengguguran atlet atau pasukan dalam RTG adalah jelas apabila prestasi tidak menentu secara tidak langsung menyebabkan kedudukan ranking mereka merudum.

“Pengguguran itu juga secara tidak langsung menunjukkan mereka masih tercari-cari prestasi atau rentak untuk membutirkan pingat emas dari Sukan Olimpik.

“Jadi tentu sahaja kita tidak mahu mereka yang berada dalam RTG hadir di Sukan Olimpik sekadar mengakhiri cabaran dalam kelompok 16 terbaik atau gangsa atau juga perak sedangkan matlamat asal program meraih emas,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan skuad Speedy Tigers selain dua wakil beregu badminton campuran negara - Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai digugurkan daripada program RTG.

Pada masa sama, Mohd Sadek juga menyuarakan rasa terkejut apabila tiga atlet - penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises; penembak lelaki, Johnathan Wong dan pelayar wanita, Nur Shazrin Latif tidak disenaraikan dalam program elit tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketiga-tiga atlet berkenaan telah layak secara merit untuk beraksi di temasya sukan dunia di Paris tahun depan jika dibandingkan atlet dikekalkan yang masih bergelut untuk mencari slot temasya di Paris.

“Pada saya, Bertrand Rhodict dan Nur Shazrin Latif masih muda seharusnya dikekalkan dalam program ini sebagai persediaan untuk kitaran Olimpik berikutnya.

“Ya, mereka tidak dinafikan mendapat bantuan menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SISO) dan Program Podium.

"Namun, tambah nilai RTG sebenarnya membantu atlet ini dalam memastikan prestasi mereka pada tahap terbaik untuk jangka panjang,” katanya.