Aniq muka baharu program RTG

Aniq tampil cemerlang apabila memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Aniq tampil cemerlang apabila memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KHABAR gembira buat atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan apabila tersenarai sebagai satu-satunya 'muka baharu' dalam program Road to Gold (RTG).

Jawatankuasa RTG yang dipengerusikan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memutuskan Aniq layak berada dalam program itu selepas menduduki tangga ke-10 dalam ranking Olimpik.

"Kedudukan itu melayakkan Aniq berada dalam program kerana ranking 10 terbaik merupakan sebahagian daripada kriteria RTG.

"Dengan sokongan yang betul, Aniq mempunyai potensi besar untuk meningkatkan personal best iaitu 291 kilogram (kg) kurang 3kg dengan pencapaian pemenang pingat gangsa Olimpik 2020 iaitu 294 kg," kata Hannah.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa RTG di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat membuat rayuan bagi membolehkan Aniq dan seorang lagi jaguh angkat berat, Muhamad Aznil Bidin disenaraikan dalam RTG.

Ia selepas Aniq berjaya memenangi pingat gangsa acara clean & jerk dengan angkatan 166kg bagi kategori 61kg pada Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi, September lalu.

Lebih manis, Aniq, 21, yang melakukan angkatan 125kg bagi acara snatch berjaya mengumpul angkatan keseluruhan 291kg, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aniq meluahkan rasa gembira disenaraikan dalam program tersebut dan bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Saya melihat peluang ini bagus untuk saya tingkatkan lagi angkatan dalam setiap kejohanan. Dapat masuk program ini saya akan dapat fast lane untuk recovery.

“Insya-ALLAH saya akan cuba buat lebih baik daripada sebelum ini. Saya akan perbaiki kekurangan dan cuba kekalkan prestasi,” katanya yang akan menyertai kejohanan di Doha, Qatar awal bulan ini.

Dalam pada itu, Jawatankuasa RTG mengekalkan majoriti atlet sedia ada iaitu dua jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua penerjun wanita, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Barisan pemain badminton pula terdiri daripada perseorangan profesional lelaki, Lee Zii Jia; dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yii dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Namun, dua beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai dan skuad hoki lelaki negara digugurkan.