Isu kewarganegaraan: Pindaan pada perlembagaan atau mungkin akta lain

Saifuddin Nasution ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto: Bernama
Saifuddin Nasution ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memuktamadkan sama ada pindaan peruntukan berkaitan kewarganegaraan akan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan atau ia hanya akan melibatkan akta serta peraturan lain sedia ada.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan tiga jalur mendapatkan kewarganegaraan, iaitu penguatkuasaan undang-undang, pendaftaran dan naturalisasi menerusi Perkara 14,15, 16,19 dan 30.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat puluhan akta dan peraturan lain yang menyokong kepada peraturan utama yang diperuntukkan berkaitan kewarganegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Undang-undang berkaitan warganegara bukan hanya di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi turut didukung dengan akta dan peraturan lain seperti Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, Akta Pendaftaran Negara 1959, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri, Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959.

"Prinsip kewarganegaraan dihurai dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi untuk tujuan meluluskan isu warganegara turut diapit berbelas lagi peraturan...

"Justeru bentuk pindaan nanti mungkin tidak dicerminkan pada Perlembagaan Persekutuan tetapi mungkin pada akta-akta sokongan ini...ini akan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu, Saifuddin Nasution berkata, sesi libat urus dengan pihak terlibat juga masih diteruskan, di samping KDN membuat semakan dengan amalan baik berkaitan perundangan kewarganegaraan yang diamalkan negara lain termasuk negara Komanwel dan bukan Komanwel.

Sementara itu, mengulas isu kebebasan bersuara dan pemansuhan Akta Hasutan 1948, Saifuddin Nasution menjelaskan, jemaah Kabinet telah menetapkan akta berkenaan hanya digunakan bagi kesalahan yang menyentuh Institusi Raja.

Artikel Berkaitan:

"... jemaah menteri membuat satu keputusan jika membabitkan Institusi Raja seperti mencela, fitnah, perlekeh dan hina Institusi Raja yang mengikut Perlembagaan Persekutuan dilindungi sifat dan kemuliaannya, maka baru Akta Hasutan digunakan.

Bagi perbezaan biasa (kesalahan berkaitan kebebasan bersuara) kita guna akta sedia ada iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Kanun Keseksaan (Akta 574)”, katanya. - Bernama