Projek selenggara sekolah: 3 pemilik syarikat didakwa guna dokumen palsu

Keputusan pada 26 Jun itu merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lepas. - Gambar hiasan
Keputusan pada 26 Jun itu merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Tiga pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu dan bersubahat bagi mendapatkan projek penyelenggaraan empat buah sekolah di sini bernilai RM1.1 juta pada 2020.

Lahama Abdul Halim, 45, pemilik syarikat Fajar Mario Engineering dan Raudhah Enterprise menghadapi 15 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan sebut harga kerja penyelenggaraan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020 di sini antara 17 Julai hingga 28 Julai 2020.

Sembilan pertuduhan membabitkan Fajar Mario Engineering untuk kerja penyelenggaraan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan, Sekolah Menengah Kebangsaan Balung serta Sekolah Menengah Kebangsaan Kalabakan; manakala enam pertuduhan melibatkan Raudhah Enterprise untuk kerja-kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka.

Pemilik bersama syarikat Fajar Mario Engineering iaitu Norman Jamil, 42, menghadapi sembilan pertuduhan bersubahat melibatkan kerja syarikat itu manakala pemilik bersama Raudhah Enterprise iaitu Juhanifah Musa, 36, berdepan enam pertuduhan bersubahat melibatkan kerja-kerja syarikat terbabit.

Lahama dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama, manakala Norman dan Juhanifah dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 471 kanun sama, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Jason Juga membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan sekali, di samping menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk pengurusan kes.

Artikel Berkaitan:

Kes pendakwaan Lahama dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee manakala pendakwaan Norman dan Juhanifah dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsyam Saharom.

Semua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama