Jangan beri muka kepada artis luar

Kenyataan KKD mahu mewujudkan Kill Switch iaitu menghentikan atau memutuskan bekalan elektrik mana-mana konsert artis luar yang melakukan aksi tidak sopan dan keterlaluan, amatlah wajar. - Gambar hiasan
Kenyataan KKD mahu mewujudkan Kill Switch iaitu menghentikan atau memutuskan bekalan elektrik mana-mana konsert artis luar yang melakukan aksi tidak sopan dan keterlaluan, amatlah wajar. - Gambar hiasan
A
A
A

KENYATAAN Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mahu mewujudkan Kill Switch iaitu menghentikan atau memutuskan bekalan elektrik mana-mana konsert artis luar yang melakukan aksi tidak sopan dan keterlaluan, amatlah wajar.

Langkah itu bagi mengelak insiden tidak senonoh kumpulan The 1975 ketika persembahan di konsert Good Vibes Festival 2023 di Sepang pada Julai lalu daripada berulang.

Selain itu, KKD juga memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia, Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara serta pihak berkuasa tempatan untuk memantau atau membuat semakan ke atas artis luar negara sebelum datang ke negara ini.

Secara logiknya, tidak kira siapa atau apa pun status, orang luar perlu mematuhi adab dan budaya negara kita.

Tak bolehlah nak ikut kepala sendiri, lebih buruk lagi apabila menularkan acuan tidak elok kepada generasi muda.

Ketegasan KKD amatlah dialu-alukan kerana sejak kebelakangan ini terlalu banyak perkara luar biasa berlaku.

Antaranya, perbuatan biadab segelintir pihak menghina undang-undang dan agama Islam sebagai agama Persekutuan apabila terus mempromosikan amalan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Percubaan halus puak tertentu yang dilihat cuba untuk menormalisasikan persepsi rakyat terhadap golongan LGBT sangatlah berbahaya dan jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Artikel Berkaitan:

Jika tiada sekatan atau peraturan ketat yang digariskan, amat membimbangkan perbuatan atau kata-kata yang terucap dengan mudah meresap dan merosakkan akidah serta akhlak anak-anak muda Malaysia terutama yang beragama Islam.

Namun, ada benar apa yang dicadangkan rata-rata warganet, sebaik-baiknya garis panduan yang ketat itu bukan sahaja memfokuskan kepada artis luar negara, malah melibatkan selebriti tempatan juga.

Bukan sahaja untuk penganjuran konsert berskala besar, malah pertunjukan yang diadakan di kelab atau pentas-pentas tertentu juga perlu dikenakan syarat sama.

Pun begitu, jangan meletakkan kepada bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya kita yang mungkin secara kebetulan menjadi penonton harus melaporkan segera jika berasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam setiap persembahan pentas.