Ahli UMNO kekal beri sokongan kepada Kerajaan Perpaduan

Mahdzir (kiri) bersama Reezal Merican ketika sidang media selepas Majlis Taklimat Pilihanraya Negeri Kedah dan Penyerahan KPI DUN pada Isnin.
Mahdzir (kiri) bersama Reezal Merican ketika sidang media selepas Majlis Taklimat Pilihanraya Negeri Kedah dan Penyerahan KPI DUN pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin ahli UMNO masih kekal dengan semangat parti dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, kehilangan sokongan ahli UMNO ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah disebabkan pengaruh Perikatan Nasional (PN) pada ketika itu yang kini semakin reda.

"Pada saya, ahli UMNO masih lagi kekal dengan semangat parti. Kalau tengok kepada jumlah undi yang ada itu, maknanya kita tetap ada deposit daripada situ.

"Cumanya waktu itu (PRU15) ada persepsi menyebabkan ada yang beralih angin, tetapi ia hanya bersifat sementara sahaja," katanya ketika sidang media selepas Majlis Taklimat Pilihan Raya Negeri Kedah dan Penyerahan KPI DUN Bersama Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di sini pada Isnin.

Mahdzir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, sokongan pengundi yang hilang sebelum ini juga akan berpatah balik kepada BN-PH pada PRN kali ini.

"Mereka akan berpatah balik cuma sebesar mana jumlah yang patah balik itu hanya pengundi tahu," katanya.

Mahdzir berkata, berdasarkan tinjauan, peralihan sokongan itu sudah pun bermula setelah berakhirnya PRU15.

"Sekarang sudah tujuh bulan, perkara itu (PRU15) sudah lepas, mereka mulai sedar soal tubuhkan kerajaan ini bukan perkara main-main, ini serius.

"Lagipun rakyat Kedah sudah cerdik bukan orang tertentu sahaja cerdik rakyat pun cerdik jadi kita beri peluang kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, pola pengundian pada PRN kali ini juga mungkin ada perubahan untuk memperkemaskan pentadbiran.

"Semasa PRU15, semua orang berlumba-lumba membentuk kerajaan Persekutuan tetapi kini kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri masih utuh, tidak kira apa yang berlaku (dalam pilihan raya negeri) kerajaan Persekutuan kekal.

"Jadi, rakyat sedar keperluan untuk mengharmonikan kerajaan negeri dan Persekutuan. Ini mungkin satu pertimbangan yang akan diambil kira oleh pengundi pada pilihan raya negeri," katanya