Tular budak hampir dilanggar, polis ambil keterangan ibu bapa

Tangkap layar daripada video tular memaparkan seorang kanak-kanak bermain di tepi jalan raya dan hampir dilanggar sebuah kenderaan di Kampung Semarang, Dengkil, Selangor pada Isnin.
Tangkap layar daripada video tular memaparkan seorang kanak-kanak bermain di tepi jalan raya dan hampir dilanggar sebuah kenderaan di Kampung Semarang, Dengkil, Selangor pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Polis telah melakukan siasatan terhadap ibu bapa kepada seorang kanak-kanak yang tular bermain di tepi jalan raya dan hampir dilanggar kenderaan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah menerima satu aduan berhubung satu video tular seorang kanak-kanak bermain di tepi jalan di Kampung Semarang, Dengkil, dekat sini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota telah ke lokasi kejadian di kawasan tanah lot perkampungan jam 7 malam pada Isnin.

"Kanak-kanak berusia dua tahun itu merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik dan tinggal bersama ibu bapanya.

"Semasa kejadian, dipercayai ibu bapa memantau anaknya bermain di hadapan rumah dan kediaman mereka terletak 70 meter dari jalan besar.

"Namun kanak-kanak itu bergerak laju membawa kenderaan permainannya ke jalan raya dan tidak sempat dikejar oleh ibu bapanya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya telah mendapatkan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Tambahnya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian kanak-kanak tanpa diawasi sehingga boleh membahayakan nyawa.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan supaya lebih prihatin dan peka terhadap anak masing-masing.

"Pantau dan awasi anak-anak yang sedang bermain atau melakukan aktiviti supaya ia tidak memudaratkan nyawa orang tersayang," ujarnya.