Persenda saingan politik tidak gambarkan akhlak Islam - Mohd Khairuddin

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan menggelar dan mempersendakan saingan politik sebagai bekas banduan, kluster mahkamah dan perasuah tidak menggambarkan akhlak Islam berdasarkan firman ALLAH SWT dalam surah al-Hujurat.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tidak wajar mempersendakan saudara seagama kerana ia sama seperti mengata kepada diri sendiri.

Menurutnya, dalam surah al-Hujurat, ALLAH SWT menggunakan ungkapan ‘diri kamu sendiri’ merujuk kepada sesama Muslim yang diumpamakan sebagai satu jasad yang sama.

“Menghina dengan gelaran bekas banduan tidak selari dengan didikan Nabi Muhammad SAW apabila baginda menegur sahabat yang melaknat al-Nu'aiman Amrin RA, seorang peminum arak berulang kali dihukum sebat kerana jenayah tersebut.

“Sikap serta akhlak buruk tindakan ini dilakukan seorang yang diperakui keilmuan Islamnya dan dirujuk, maka segala tindak tanduk diikuti termasuk perkara salah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Tambah beliau, pertelingkahan segelintir individu dalam tahaluf siyasi (perjanjian politik) tidak mewajarkan untuk terbawa-bawa dengan penghinaan peribadi.

“Gunalah bahasa lain yang lebih indah sekiranya tidak mahu bersepakat dalam politik sekali pun sebagai panduan dan teladan kepada rakyat serta pengikut bawahan.

“Teguran ini pasti akan mendapat kecaman daripada ahli bekas parti saya, maka marilah kita hayati konsep amar ma’ruf nahi mungkar yang sama-sama dipelajari dan tekuni,” katanya.

Artikel Berkaitan: