Masalah kesihatan tidak jadi penghalang

Biarpun sesekali dilihat menyedut nebulizer, Anuar tetap komited menghiburkan peminat.
Biarpun sesekali dilihat menyedut nebulizer, Anuar tetap komited menghiburkan peminat.
A
A
A

BIARPUN berdepan dengan masalah kesihatan sehingga mejejaskan suaranya, penyanyi berkaliber, Anuar Zain tetap memberikan yang terbaik buat 8,000 peminat yang hadir menyaksikan konsertnya, Anuar Zain 40th Anniversary (AZ40) di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu lalu.

Bahkan, bintang berusia 53 tahun itu dilihat beberapa kali menyedut nebulizer bermula segmen kedua konsert itu bagi memastikannya suaranya tidak terus hilang.

"Rasanya tidak pernah dibuat orang (penyanyi), terpaksa sedut nebulizer ketika menyanyi, tetapi saya beritahu diri sendiri, apa pun terjadi persembahan perlu diteruskan.

"Sebenarnya saya demam dan kemudian batuk seminggu lalu, lepas itu suara saya hilang untuk tiga hari. Penyanyi latar saya, Jad Lobo yang cadangkan saya untuk jumpa seorang doktor. Doktor itu bantu saya dan alhamdulillah suara saya kembali ada berbanding tiga hari lalu," katanya ketika ditemui usai selesai konsert Sabtu lalu.

8,000 peminat telah hadir menyaksikan Anuar Zain 40th Anniversary termasuk Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin; rakan selebriti seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar, Rozita Che Wan; serta keluarga termasuk Ziana Zain, Syamel dan Ernie Zakri.
8,000 peminat telah hadir menyaksikan Anuar Zain 40th Anniversary termasuk Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin; rakan selebriti seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar, Rozita Che Wan; serta keluarga termasuk Ziana Zain, Syamel dan Ernie Zakri.

Mengakui kecewa dengan situasi tidak terjangka itu, Anuar berkata, kehadiran 8,000 peminat termasuk Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin; rakan selebriti seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Syafinaz Selamat, Misha Omar, Rozita Che Wan, Syamel dan Ernie Zakri telah memberi suntikan semangat buatnya.

"Walaupun saya kecewa kerana ada lagu yang saya tak sampai dan ada yang saya tak dapat buat pada konsert ini, tetapi saya percaya apa yang berlaku ada sebabnya.

"Saya cuba lakukan yang terbaik. Susunan muzik pun yang asal, saya tak buat apa-apa perubahan," ujarnya yang tidak menolak untuk membuat konsert sama di Singapura dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Pada konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu, Anuar menghiburkan peminat setianya dengan seleksi lagu popular seperti Sesucinya Cintamu, Jangan Bersedih Lagi, Bila Resah, Mungkin, Ketulusan Hati, Ajari Aku, Perpisahan, Sedetik Lebih, Keabadian Cinta dan Lelaki Ini.

Sebak kenang Palestin

Di sebalik kerancakkan menghiburkan peminat setianya, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain itu mengakui sebak mengenangkan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Justeru, sebelum konsert bermula, Anuar sempat meminta kesemua yang hadir untuk sedekahkan Al-Fatihah buat mereka yang telah syahid.

Anuar berhasrat untuk mengadakan konsert di Singapura dalam masa terdekat.
Anuar berhasrat untuk mengadakan konsert di Singapura dalam masa terdekat.

Biarpun tetap mengadakan konsert tatkala perhatian kini tertumpu di bumi Gaza, Anuar berkata, timbul kebimbangan seandainya keputusannya itu menjadi pertikaian.

"Memang timbul kebimbangan untuk meneruskan konsert, tetapi saya sedaya upaya menunjukkan kasih sayang, belas ihsan dan simpati terhadap rakyat Palestin pada awal konsert lagi.

"Mungkin saya tidak tunjukkan kesedihan secara terbuka, tapi saya sangat sensitif dengan apa yang mereka lalui," jelasnya sebak.

Tambah Anuar, semenjak serangan hari pertama tentera Israel terhadap penduduk di Gaza, setiap hari pasti air matanya berlinangan melihat kekejaman yang berlaku terutama terhadap warga emas dan kanak-kanak.

"Saya seru pada yang berkemampuan infaqlah pada badan yang menyalurkan sumbangan ke sana. Kalau tak mampu, teruskan berdoa," ujarnya.