Konsert 40 tahun dalam industri, Anuar Zain tolak gimik

Anuar. - Foto Jiobuddy
Anuar. - Foto Jiobuddy
A
A
A

PERJALANAN selama empat dekad merentasi industri seni tanah air bukanlah satu perjalanan singkat buat penyanyi popular Anuar Zain.

Bermula daripada seorang penyanyi kanak-kanak sekitar tahun 1983 sehinggalah menjadi penyanyi solo lelaki berprofil tinggi, Anuar atau nama penuhnya Shahrul Anuar Zain mempunyai pengaruh cukup besar dalam kalangan penggemar muzik sepanjang kerjaya seninya.

Mengakui terharu masih diterima sehingga ke hari ini, penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Lelaki ini bakal menghadiahkan sebuah persembahan istimewa bersempena 40 tahun penglibatannya dalam industri muzik.

Katanya, Anuar Zain 40th Anniversary Concert yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 28 Oktober depan itu adalah satu apresiasi buat peminat setianya.

“Konsert ini sangat istimewa dan ia sebagai tanda apresiasi saya kepada peminat yang selama ini sentiasa ada bersama sepanjang perjalanan 40 tahun saya dalam industri muzik. Terima kasih kepada mereka yang menyokong saya secara langsung atau tidak langsung dalam tempoh itu.

“Saya mengimpikan agar konsert ini akan menjadi kenangan terindah di antara kita semua pada malam itu nanti,” ujarnya.

Sentiasa tampil dengan prinsip dan identiti tersendiri, Anuar 53, berkata, tidak akan ada sebarang elemen gimik dalam konsert anjuran JioBuddy itu, sebaliknya tumpuan akan diberikan sepenuhnya kepada persembahan di pentas.

Tegasnya, sejak dulu elemen gimik tidak pernah menjadi pilihannya dalam menarik perhatian umum meski atas apa tujuan sekalipun.

“Tiada elemen gimik yang akan dilakukan untuk konsert ini kerana saya seorang yang tidak pandai buat gimik dan sukakan persembahan ‘straight forward’. Fokus saya hanya untuk tampilkan nyanyian, muzik dan persembahan yang bagus untuk penonton yang hadir.

“Saya sukakan sesuatu yang spontan bersama peminat. Jadi interaksi dan respons yang diberikan pada malam persembahan itu akan menjadi sesuatu yang menarik untuk kita raikan dan jadikan memori untuk dikenang nanti,” tegasnya.

Anuar yang cukup diminati ramai peminat wanita itu mahu peminat datang ke konsertnya dengan hati yang terbuka untuk menikmati persembahan.

Malah penyanyi itu juga menjanjikan yang terbaik menerui dendangan lagu-lagu hitsnya seperti Lelaki Ini, Perpisahan, Bila Resah, Sedetik Lebih, Keabadian Cinta dan banyak lagi.

“Saya hanya mahu peminat datang menikmati persembahan saya dengan sebaiknya. Sama-sama menyanyi, menari dan menyertai kemeriahan bersama-sama.

“Atas sebab itu saya dan pasukan produksi kini sibuk membuat persiapan terbaik untuk anda semua,” katanya.

Tiket Anuar Zain 40th Anniversary Concert akan mula dijual pada 12 Julai dengan harga RM1188, RM888, RM488, RM388 dan RM 188. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web www.jiotix.asia.