Sembunyi syabu RM7 juta dalam bungkusan teh

Taktik seludup dadah menggunakan bungkusan teh untuk mengaburi mata anggota penguat kuasa gagal apabila anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM7 juta.
Taktik seludup dadah menggunakan bungkusan teh untuk mengaburi mata anggota penguat kuasa gagal apabila anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM7 juta.
A
A
A

PASIR MAS - Taktik penyeludup dadah menggunakan bungkusan teh untuk mengaburi mata anggota penguat kuasa gagal apabila anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM7 juta.

Rampasan syabu seberat 100 kilogram itu dilakukan pada jam 8.30 malam apabila pacuan empat roda jenis Mitsubisi Triton yang dipandu suspek terbabas di simpang tiga Kampung Tasek Permai, Rantau Panjang.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Kamarulzaman Maarof berkata, bagaimanapun kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran selepas kenderaan mereka terbabas.

"Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang kenderaan menjumpai bungkusan yang mengandungi dadah jenis syabu di dalam kotak selain dokumen pengenalan diri milik salah seorang suspek.

"Siasatan awal mendapati dadah tersebut diseludup masuk ke negara ini menggunakan sampan melalui Sungai Golok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamed Piah; Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintanden Azhari Nusi.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kamarulzaman berkata, rampasan dadah itu merupakan kejayaan terbesar PGA Briged Tenggara bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PGA akan terus melipat gandakan operasi dalam usaha mencegah aktiviti jenayah lintas sempadan.