60 projek PoP Fasa 1 berjaya disiapkan di Sabah - Fahmi

Fahmi (tengah) meletakkan tangan pada tablet sebagai simbolik perasmian PoP Zon Industri di Kampung Lapasan. - Foto Bernama
Fahmi (tengah) meletakkan tangan pada tablet sebagai simbolik perasmian PoP Zon Industri di Kampung Lapasan. - Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Sebanyak 60 daripada 67 projek 'Point of Presence' (PoP) yang dirancang dalam Fasa 1 berjaya disiapkan setakat ini melibatkan sekurang-kurangnya 6,000 premis akan menerima perkhidmatan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh Sabah.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan fasa seterusnya projek itu di Sabah akan melibatkan 636 kawasan dan dalam masa sama satu kertas kerja dibuat untuk mengenal pasti masalah seperti kelewatan yang dihadapi semasa pelaksanaan PoP Fasa 1.

"Kita difahamkan terdapat pelbagai masalah dihadapi menyebabkan projek PoP Fasa 1 mengalami kelewatan seperti isu permit, isu caj... kita mahu masalah ini diatasi bagi memastikan kelancaran PoP Fasa 2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan PoP Zon Industri di Kampung Lapasan, Telipok di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Dalam pada itu, katanya, satu lokasi PoP di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah disiapkan melibatkan KKIP Zon Industri 7, manakala tiga lagi PoP sedang disiapkan, dengan keempat-empat PoP itu akan menyediakan kemudahan Internet kelajuan tinggi kepada 400 premis di kawasan berkenaan.

Fahmi berkata, bagi kawasan Parlimen Sepanggar, tiga PoP telah disiapkan dengan sekurang-kurangnya 300 premis sedia untuk dilanggan.

Beliau berkata, sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi dan stabil itu, akan menyediakan kebolehcapaian pendigitalan yang cekap dan berupaya menggalakkan pengembangan aktiviti industri, meningkatkan pelaburan khususnya di kawasan industri baharu.

"Ia juga membolehkan capaian kepada maklumat yang lebih luas, menggalakkan pemindahan teknologi di peringkat global serta pemprosesan automasi lebih baik bagi membantu industri mengadaptasi cabaran dan peluang perniagaan dalam era ekonomi digital.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, inisiatif ini juga akan memberi peluang kepada peningkatan ekonomi digital di luar bandar.

"Masyarakat luar bandar boleh menjalankan pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian dengan adanya capaian rangkaian Internet berkualiti dan menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, kerajaan memahami keperluan kesalinghubungan Internet untuk rakyat, justeru kementeriannya sedang giat merlaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk memberikan capaian Internet lebih baik di kawasan di bandar, luar bandar serta pedalaman.

"Usaha ini bertujuan mempersiapkan masyarakat dengan kemahiran digital bagi merapatkan kesenjangan digitalisasi dan memperkasakan infrastruktur telekomunikasi negara,” katanya. - Bernama