'Setakat ini Hulu Bernam ditandingi Amanah' - Izham

 Ir Izham Hashim
Ir Izham Hashim
A
A
A

KLANG - Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim mengesahkan kerusi Hulu Bernam akan ditandingi parti itu yang bernaung di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

Izham berkata, Amanah akan bertanding sembilan kerusi di Selangor termasuk Hulu Bernam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat di peringkat tertinggi sementara kerusi Jeram akan diambil alih oleh BN.

"Amanah sebelum ini ada sembilan kerusi termasuk Jeram dan selepas perbincangan dibuat akhirnya keputusan dipersetujui ialah BN ambil Jeram dan Amanah bertanding di Hulu Bernam," katanya mengulas isu status kerusi Hulu Bernam antara Amanah dan BN.

Beliau ditemui pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja di sini pada Isnin.

Sebelum ini UMNO Hulu Selangor meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan Ketua Pemuda Amanah Hulu Selangor, Abdul Mun'im Roslin yang mengumumkan Amanah akan menggantikan BN bertanding di DUN Hulu Bernam.

Ketua Bahagian UMNO Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, tindakan Abdul Mun'im yang mengeluarkan kenyataan itu dianggap terburu-buru kerana kepimpinan tertinggi gabungan PH dan BN belum lagi membuat sebarang keputusan atau mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertukaran DUN terbabit.

Sementara itu Izham berkata, pembahagian keseluruhan 56 kerusi di Selangor juga sudah selesai dan majlis pengumuman calon dijangka diadakan 25 Julai ini.

"Kerusi Selangor antara terawal selesai antara PH dan BN namun saya tak pasti jika ada perbincangan lain dibuat.

"Setakat ini isu pembahagian kerusi sudah muktamad, namun sebelum sampai hari penamaan calon, apa-apa boleh berlaku," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, isu pembahagian kerusi tidak mengganggu kerjasama dan gerak kerja antara jentera pilihan raya PH dan BN.

"Apa yang penting pintu rundingan masih berjalan antara rakan-rakan gabungan. Hubungan akrab bukan hanya pembahagian kerusi tapi juga jentera pilihan raya.

"Baru-baru ini kehadiran konvensyen pilihan raya ramai dan gerak kerja ke bawah juga mantap. Saya yakin insya-ALLAH akan membuahkan natijah kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor," katanya.