Khairulnizam, Nur Shazrin perkuat cabaran pasukan pelayaran negara

Nur Shazrin dan Khairulnizam antara sandaran pasukan pelayaran Malaysia di pusingan akhir Piala Emas SSL di Gran Canaria, Sepanyol, bulan depan. - Foto arkib
Nur Shazrin dan Khairulnizam antara sandaran pasukan pelayaran Malaysia di pusingan akhir Piala Emas SSL di Gran Canaria, Sepanyol, bulan depan. - Foto arkib
A
A
A

PASUKAN pelayaran Star Sailors League (SSL) negara bakal mengibarkan cabaran di pusingan akhir Piala Emas SSL di Gran Canaria, Sepanyol, bulan depan.

Kumpulan pertama diketuai kapten pasukan, Megat Danial Megat Najmuddin berkata, beliau bangga apabila diberi penghormatan mewakili Malaysia untuk kejohanan ini.

“Setiap pasukan akan diwakili atlet pelayaran terbaik negara masing-masing dan digabungkan menjadi satu pasukan untuk bersaing menggunakan kapal monohull berukuran 47 kaki,” katanya.

Megat Danial dan anak buahnya berlepas ke Split, Croatia, Jumaat lalu untuk menjalani latihan selama seminggu sebelum menyingkap kempen yang bermula dari 10 November hingga 3 Disember depan.

Megat Danial optimis pasukan negara akan memberikan persembahan yang terbaik di Lautan Atlantik berdasarkan prestasi memberangsangkan pelayar sepanjang dua tahun ini.

“Latihan di Croatia bertujuan mendorong pasukan untuk memberi tumpuan bagi persiapan akhir. Kami dijadualkan menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih Alan Philip Smith dari New Zealand.

“Setelah sampai di Kepulauan Canary, pasukan akan berdepan keadaan suhu seperti musim panas tetapi dengan keadaan angin yang mencengkam,” kata Megat Danial.

Malaysia dibarisi pelayar Olimpian, Khairulnizam Mohd Affendy yang mempunyai pengalaman bersaing sebanyak tiga kali di Sukan Olimpik iaitu edisi London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

Nur Shazrin pula yang merupakan juara Sukan Asia Hangzhou 2022 dalam acara ILCA 6 wanita pernah membuat penampilan sebanyak dua kali di Sukan Olimpik pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Kejayaan atlet berusia 25 tahun di Hangzhou itu juga melayakkan beliau untuk beraksi buat kali ketiga di pentas Olimpik iaitu di Paris, tahun depan.

Selain Khairulnizam selaku jurukemudi dan Nur Shazrin (tactician), pasukan negara turut dibarisi pelayar veteran yang juga ketua kru, Ahmad Faizul Aswad Mohamed (grinder), Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (trimmer), Ahmad Syukri Abdul Aziz (offside trimmer), Mohd Azhar Sadon Zubir (pitman), Uzair Amin Mohd Yusof (mainsail trimmer), Mohd Akiyuddin Mat Zaki (bowman), Asri Azman (floater), Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (spare trimmer) dan Ahmad Khairulhafiz Mohd Khmbali (spare floater).

Sebagai rekod, Piala Emas SSL menggunakan model kejuaraan bola sepak Piala Dunia membabitkan pasukan kebangsaan dalam memburu gelaran juara dunia pelayaran dalam perlumbaan 25 hari.

Sebanyak 40 pasukan akan bersaing dalam pusingan akhir, termasuk 24 pasukan terbaik dunia dalam Ranking SSL, dibarakan 16 pasukan yang layak melalui kelayakan dari Mei hingga Julai 2022.