Periksa bas sekolah, elak tragedi

Abdul Jalil ( kiri) bersalaman dengan Lam Thye selepas sesi taklimat dan kunjungan wakil MCPF di IPK Pahang hari ini.
Abdul Jalil ( kiri) bersalaman dengan Lam Thye selepas sesi taklimat dan kunjungan wakil MCPF di IPK Pahang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Semua pengusaha bas sekolah perlu menjalankan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Khamis ini bagi memastikan kenderaan itu berada dalam keadaan baik sebelum beroperasi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, keselamatan pelajar menjadi keutamaan dan pencegahan dilakukan sebelum insiden tidak diingini.

"Satu program akan diadakan bersama Puspakom dan kita minta semua pengusaha bas mengambil peluang menjalankan pemeriksaan kenderaan mereka," katanya pada sidang akhbar selepas kunjungan hormat Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye Di Bilik Mesyuarat Kontinjen, Tingkat 7, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pahang hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nayan dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali.

Pada 4 Julai lalu, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, maut selepas terjatuh dari bas sekolah yang sedang bergerak dipercayai akibat terpijak lantai bas berlubang di Kampung Kandis, Pasir Puteh, Kelantan.

Abdul Jalil berkata, walaupun kejadian itu berlaku di luar Pahang namun pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak kes berulang.

Selain itu, Abdul Jalil berkata, pihaknya turut mengadakan program Back to School bermula 2 Januari depan.

Katanya, pihak polis akan berada di semua pintu masuk sekolah bersama guru besar, Persatuan Ibu bapa dan guru (PIBG) dan wakil MCPF bagi mengalu-alukan kedatangan pelajar ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Program ini akan dilakukan serentak di seluruh Pahang yang diketuai Ketua Polis Daerah masing-masing dan ceramah akan dibuat bagi memastikan pelajar mengutamakan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, 5,000 kelab pencegahan jenayah sudah diwujudkan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Jelasnya, penubuhan kelab itu bagi memberi fokus kepada keselamatan sekolah seperti bas sekolah, selain pencegahan jenayah lain seperti dadah dan jenayah siber.

Bagaimanapun, beliau mahu memperluaskan lagi kelab berkenaan ke seluruh negara pada masa akan datang kerana kelab ini akan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Mungkin pada awal tahun, kita dapat laksanakan di seluruh IPT supaya pelajar mendapat manfaat, kesedaran dan mengelak menjadi mangsa jenayah,” katanya.