RTK Titiwangsa gigih kumpul dana bagi tampung operasi

Mak Pah menunjukkan antara jualan yang dihasilkan bagi menjana pendapatan operasi RTK.
Mak Pah menunjukkan antara jualan yang dihasilkan bagi menjana pendapatan operasi RTK.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Rumah Titian Kaseh (RTK) Titiwangsa tidak hanya menunggu sumbangan awam sebaliknya pelbagai inisiatif dilakukan bagi memperoleh dana menampung keperluan pusat kebajikan tersebut.

Pengasasnya, Sharifah Adlan, 68, atau mesra dipanggil Mak Pah berkata, kos operasi diperlukan adalah sebanyak RM60,000 sebulan merangkumi gaji 12 pekerja, sewa premis, utiliti dan perbelanjaan persekolahan 40 pelajar tidak termasuk kos makan minum.

Menurutnya, mereka sebelum ini menjual kudapan biskut, roti dan popia keju sebelum mula membuka kafe berkonsep kios di pekarangan pusat jagaan itu sejak Mei lalu.

"Sambutan diterima dalam kalangan pelanggan menggalakkan susulan lokasinya strategik berhampiran pusat riadah Taman Titiwangsa.

"Harap lebih ramai datang memberikan sokongan kepada perniagaan kami. Selain menikmati hidangan, pelanggan dapat bersedekah dan sedikit sebanyak membantu kos operasi kami," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, RTK beroperasi di tiga lokasi dengan dua daripadanya di Titiwangsa (asrama pelajar perempuan, ibu tunggal dan warga emas) manakala satu di Bukit Tunku (asrama lelaki).

Kios yang digunakan untuk operasi kafe di pekarangan RTK sejak Mei lalu.
Kios yang digunakan untuk operasi kafe di pekarangan RTK sejak Mei lalu.



Kongsinya, pengurusan menghadapi masalah kewangan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan tidak dapat menjalankan perniagaan 'food truck' di luar.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, selepas fasa peralihan endemik, keadaan ekonomi tidak menentu menyebabkan sumbangan kebajikan diterima juga tidak serancak dahulu.

"Alhamdulillah sumber kewangan sentiasa mencukupi cuma kena pandai susun bajet ikut keutamaan dan jika ada lebih digunakan untuk waktu mendatang.

"Kami juga menjalankan khidmat katering sebagai satu lagi sumber kewangan. Kami memang ikhtiar pelbagai cara untuk jana pendapatan sendiri memandangkan tiada penyumbang tetap," katanya.

Katanya, soal makan tidak menjadi kebimbangan buat mereka kerana sentiasa cukup melalui sumbangan orang ramai.

"Cuma kami perlu cari dana untuk kos operasi lain termasuk bagi kegunaan kecemasan seperti kos penyelenggaraan van yang digunakan untuk pengangkutan pelajar.

"Daripada tiga van, dua daripadanya kerap bermasalah. Kami berhasrat mengumpul dana untuk membeli van baharu bagi keselesaan pelajar-pelajar," katanya.

Katanya, walaupun menjalankan pelbagai perniagaan namun semuanya diusahakan sendiri tanpa bantuan anak yatim yang menjadi penghuni di sana.

"Ada terdapat enam ibu tunggal di sini yang terlibat dalam pembuatan biskut dan roti sementara kafe diusahakan menantu saya yang sebelum ini berpengalaman berniaga food truck.

"Kalau boleh jika ada syarikat korporat atau orang awam yang sudi membantu termasuk tajaan van baharu sangat kami alukan. Dari segi perbelanjaan bulanan, Insya-ALLAH setakat ini kami usahakan dan tiada masalah," katanya.