X

Kindly register in order to view this article
!

RM25,500 untuk tujuh beradik yatim piatu

A
A

DUNGUN - Pemuda Pas Dungun menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Care Dungun menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,500 kepada tujuh beradik yatim piatu di Kampung Pasir Raja di sini Jumaat lalu.

Timbalan Pengerusi Sahabat Care Dungun, Muhamad Farhan Yaacob berkata, wang tunai itu hasil sumbangan orang ramai yang bermurah hati menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan keluarga itu setelah kedua ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan pada 4 Oktober lalu.

"Tabung bagi keluarga itu digerakkan selama dua bulan lebih bermula pada 5 Oktober lalu dan kita berjaya memperoleh sejumlah wang untuk disumbangkan kepada keluarga berkenaan.

"Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas kawasan Dungun yang juga merupakan Pengerusi Sahabat Care Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Farhan, NGO terbabit mengadakan lawatan di rumah keluarga mangsa selepas insiden berkenaan.

"Kita juga ada melawat keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan awal pada 5 Oktober lalu iaitu sehari selepas tragedi kemalangan.

"Ketika lawatan Jumaat lalu, dua beradik daripada keluarga itu masih belum sembuh sepenuhnya dengan seorang daripadanya masih terbaring dan minum susu melalui saluran tiub," katanya.

Tujuh beradik yatim piatu itu kini menetap di rumah datuknya, Idris Abdullah, 74, selepas ibu bapa mereka, Norhapisah Idris, 34, dan Kamal Hisham Mustaffa Mohammad, 35, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Felda Kerteh 2/3 dekat Ketengah Jaya, Dungun pada 11.15 pagi pada 4 Oktober lalu.

Dalam kejadian itu, dua beradik iaitu Muhammad Danish Irfan Kamal Hisham, 11, dan anak angkat pasangan itu, Muhammad Danial Abdullah, 12, mengalami kecederaan parah di kepala.

Menurut laporan sebelum ini, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira Aeroback dipandu Kamal Hisham dari arah Ketengah Jaya ke Felda Kerteh 2 dikatakan memintas sebuah kereta di lokasi kejadian.

Bagaimanapun Kamal Hisham tidak sempat kembali ke laluan kiri sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza.

Ketika kejadian, lima lagi anak mereka iaitu Muhammad Darwish Iqbal, 9, Muhammad Dhiyauddin Aiman, 8, Muhammad Daim Amin, 6, Muhammad Dhiya Arsyad, 5 dan Dayyinah Athirah, 3 berada di rumah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus