[VIDEO] Bukti rakyat masih mahukan khidmat wakil rakyat PN - Takiyuddin

A
A
A

MELAKA - Keputusan Mahkamah Pilihan Raya Melaka mengekalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah, pada Jumaat, membuktikan rakyat Parlimen itu masih mahu beliau meneruskan khidmatnya.

Peguam kepada Mas Ermieyati, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya bersyukur apabila kemenangan berkenaan berpihak kepada mereka meskipun terpaksa menjalani tempoh perbicaraan yang agak panjang.

Menurutnya, ini juga merupakan hasrat rakyat di Parlimen itu untuk melihat Mas Ermieyati memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Bukan 100, bukan dua ratus dan bukan empat ratus, namun lebih 4,000 rakyat (undi majoriti) dan jelaslah bahawa rakyat Masjid Tanah mahukan pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) mewakili mereka," katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Pilihan Raya di Ayer Keroh pada Jumaat.

Mas Ermieyati (tengah) dan Takiyuddin (kanan) ketika ditemui di luar Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada Jumaat.
Mas Ermieyati (tengah) dan Takiyuddin (kanan) ketika ditemui di luar Mahkamah Pilihan Raya Melaka pada Jumaat.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, meskipun terpaksa menempuh kes perbicaraan, namun ia tidak menghalang komitmen dan tugasannya sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

"Ini tidak menjejaskan tugas saya sebagai ahli Parlimen dan juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Dengan kemenangan ini insya-ALLAH kita akan lebih bersemangat berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan dan menolak petisyen yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Abu Bakar Katar yang menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Hakim Abdul Wahid bagi mencabar kemenangan Mas Ermieyati di kerusi Parlimen berkenaan atas dakwaan rasuah.

Abu Bakar dalam penghakimannya memaklumkan mahkamah menolak petisyen tersebut setelah mendapati dakwaan yang dikemukakan pihak pempetisyen gagal membuktikan amalan rasuah yang dilakukan oleh responden dan ejennya.

Pada PRU15, Mas Ermieyati (PN-Bersatu) menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman (Muda) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang).