[VIDEO] Lelaki edar kanabis dipenjara seumur hidup, isteri bebas

A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dihukum penjara seumur hidup dengan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis selepas didapati bersalah mengedar kanabis seberat 1,024.6 gram, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat membuat keputusan berkenaan selepas Teh Geok Chin, 47, menukar pengakuan kepada bersalah dalam sebutan kes pada Khamis.

Berdasarkan pertuduhan, Geok Chin dituduh melakukan kesalahan tersebut di tingkat dua sebuah pusat beli-belah di Skudai sekitar jam 6.15 petang pada 16 Julai 2020 lalu.

Bapa kepada seorang anak perempuan berusia lima tahun itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara mulai tarikh ditangkap iaitu pada 18 April 2019 lalu.

Geok Chin diiringi polis di mahkamah pada Khamis.
Geok Chin diiringi polis di mahkamah pada Khamis.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau jika tidak dihukum mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Geok Chin ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi di hadapan Tebrau Residences, Jalan Tebrau di sini, sebelum dipandu ke sebuah rumah yang baharu disewanya.

Ketika serbuan dilakukan di rumah berkenaan, isterinya berada di dalam rumah dan susulan itu, kedua-dua mereka ditahan.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama mengedar dadah berkenaan di sebuah rumah di Jalan Suria Muafakat 1, Larkin di sini, pada pukul 12.10 tengah malam 18 April 2019.

Bagaimanapun, isteri tertuduh, Nguyen Thi Thanh Tuyen, 25, warga Vietnam dilepas dan dibebaskan serta ditarik balik pertuduhan.