Aina Abdul mahu ubah stigma

Aina Abdul tampil dengan album sulungnya, Imaji.
Aina Abdul tampil dengan album sulungnya, Imaji.
A
A
A

TERPUKUL dengan komen Maestro Muzik, Datuk Ramli MS yang menyeru penyanyi generasi zaman kini untuk menghasilkan album mendorong Aina Abdul tampil dengan album sulungnya, Imaji.

Jelas Aina atau nama penuhnya Nurul Aina Abdul Ghani, meskipun berlumba dengan masa, dia cuba untuk melancarkan album sulung itu sebelum konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena pada 18 November depan.

"Saya tak nafikan kata-kata Tok Ram (Ramli MS) ketika kami sama-sama menjadi juri dalam sebuah program memberi kesan kepada saya dan buat saya menggeletar. Terasa ada yang mentertawakan saya.

"Rasa nak balik pun ada ketika itu. Malah saya terfikir kalau ada kuasa magis, saya nak siapkan album waktu itu juga dan tunjuk pada beliau," ujarnya ketika sesi pelancaran dan pra dengar Imaji di Lereng Tanah, Hulu Langat pada Selasa.

Bagaimanapun, penyanyi berusia 30 tahun itu tidak terus larut dengan komen yang diberikan suami Datin Alyah itu.

Sebaliknya, Aina terus bangkit menyiapkan album yang memuatkan 14 buah lagu itu.

Bahkan pelantun lagu Terus Hidup itu mahu mengubah stigma bahawa seseorang penyanyi itu tidak boleh mengadakan konsert tanpa melahirkan sebuah album terlebih dahulu.

Aina sempat menghiburkan peminat yang turut hadir pada majlis pelancaran albumnya.
Aina sempat menghiburkan peminat yang turut hadir pada majlis pelancaran albumnya.

Artikel Berkaitan:

"Kalau artis di luar negara, ada satu atau dua lagu hits pun masih boleh lakukan konsert. Jadi mengapa kita tidak boleh buat perkara sama?

"Walaupun penyanyi generasi baru macam saya tidak ada lagu hits, tapi tetap boleh lakukan persembahan seperti showcase dan sebagainya.

"Saya rasa stigma ini perlu diubah," katanya.

Berkongsi lanjut tentang album yang memakan kos berjumlah RM300,000 itu, Aina berkata, dia bekerja keras untuk memuatkan karya terbaik dalam Imaji.

Menghimpunkan 14 buah trek istimewa hasil nukilan dan ciptaan Aina sepenuhnya termasuk single Jangan Mati Rasa Itu yang baru sahaja dilancarkan pada 25 Ogos lalu.

“Setiap lagu yang dihasilkan adalah interpretasi saya terhadap emosi diri yang sarat termasuklah rasa marah, sedih, kecewa, diabaikan, dicintai, dihargai dan sebagainya

"Imaji juga adalah hadiah hari jadi paling bermakna dalam diri saya sebagai penyanyi," tuturnya.