Lampu bot candat sotong punca cahaya hijau terangi langit

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Omar)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Omar)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Lampu bot pukat cerut bagi mencandat sotong dikenal pasti menyebabkan ruang udara di Sungai Besar disinari cahaya berwarna hijau pada malam Selasa.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman berkata, perkara itu disahkan Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar.

Menurut beliau, lampu bercahaya hijau itu digunakan nelayan bagi menarik perhatian sotong memasuki pukat tersebut.

"Lampu hijau pada bot itu kebiasaannya berfungsi untuk dipancarkan ke kawasan dasar laut dan keadaan itu mungkin menyebabkan sinarannya naik hingga menjadikan langit kelihatan hijau," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Omar berkata, perkara itu dianggap perkara biasa dan bukannya fenomena luar biasa seperti didakwa penduduk di media sosial.

Justeru, katanya, orang ramai diminta tidak bimbang kerana ia tidak membahayakan manusia.

"Kaedah itu hanya digunakan nelayan bagi mendapatkan hasil tangkapan laut," kata beliau.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penduduk di Sungai Besar gempar menyaksikan fenomena sebahagian langit disinari warna hijau pada malam Selasa.

Artikel Berkaitan:

Imej itu dirakam seorang pelayar Facebook yang memuat naik gambar fenomena itu di sebuah taman perumahan di sini.