Uniten tawar tajaan yuran pengajian kepada pelajar Palestin

Foto Facebook Uniten
Foto Facebook Uniten
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menawarkan tajaan yuran sepanjang pengajian sesi baharu kepada pelajar yang berasal dari Palestin bagi meringankan beban mereka.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, tawaran tersebut meliputi semua program pengajian di keseluruhan kampus universiti itu.

Menurutnya, tindakan tersebut sebagai tanda keprihatinan dan solidariti berkait isu kemanusiaan di negara berkenaan.

“Kami percaya bantuan dihulurkan kepada pelajar dalam menggapai cita-cita menerusi bidang pendidikan adalah antara kaedah terbaik dan rasional yang menghala ke arah penemuan penyelesaian yang bermanfaat.

“Secara peribadi, saya yakin kejayaan dalam bidang ini akan membangun dan memerdekakan bumi Palestin kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sejak 7 Oktober lalu, dunia kembali tertumpu kepada perkembangan konflik Palestin-Israel yang telah berlanjutan sejak berdekad lamanya mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda.

Malaysia yang konsisten menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin sejak dahulu, turut membantah kekejaman rejim Israel melalui himpunan 16,000 rakyat dari pelbagai agama dan etnik dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

Tambah Noor Azuan, Uniten komited bekerjasama dengan agensi-agensi kemanusiaan dan organisasi berkaitan yang diiktiraf kerajaan dalam menyalurkan bantuan ke bumi Palestin.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pihak universiti seiring dengan kerajaan bagi memastikan sokongan penyelesaian praktikal kepada konflik Palestin-Israel yang sukar itu.