Dua beranak didakwa tipu royalti jual jongkong emas RM1.3 juta

Dua beranak masing-masing berbaju merah jambu dan putih hadir di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Khamis.
Dua beranak masing-masing berbaju merah jambu dan putih hadir di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua beranak yang juga bekas pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menipu kerajaan Sabah dengan mengemukakan dokumen palsu berhubung royalti penjualan jongkong emas secara haram bernilai RM1.3 juta.

Tertuduh pertama bergelar 'Datuk' berusia 67 tahun berdepan 24 pertuduhan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Anaknya yang berusia 42 tahun pula berdepan 24 pertuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 418 kanun yang sama.

Pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan atas kesalahan menipu kerajaan negeri Sabah melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah dengan tidak mengisytiharkan hasil penjualan kuantiti jongkong emas yang sebenar dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada jabatan itu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Jason Juga atas kesemua pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan kedua-dua-dua tertuduh diarahkan membayar jaminan sebanyak RM100,000 bagi setiap seorang dengan deposit tunai RM50,000 serta merta.

Selain itu, pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh juga diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, sumber memaklumkan, kedua-dua tertuduh telah menjalankan perniagaan perlombongan mineral emas di Bukit Mantri, Tawau.

Artikel Berkaitan:

Sumber berkata, menurut syarat perjanjian pajakan tanah dan perlombongan mineral dengan JTU, syarikat tersebut disyaratkan untuk membayar royalti sebanyak lima peratus daripada hasil penjualan mineral emas yang dilombong di Bukit Mantri kepada JTU.

Bagaimanapun, antara 2019 sehingga tahun ini, kedua-duanya dikatakan telah menjual kira-kira 26 jongkong emas secara haram kepada syarikat pembeli di mana bilangan jongkong emas yang dijual itu tidak diisytiharkan dalam dokumen invois untuk dikemukakan kepada JTU.

Dokumen itu adalah untuk tujuan pengiraan bayaran royalti sebanyak lima peratus daripada hasil jualan jongkong emas yang dilombong dan dihasilkan di Bukit Mantri.

Penipuan kedua-dua tertuduh itu telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan Sabah dari segi penerimaan bayaran royalti yang dianggarkan RM1.3 juta daripada hasil jualan 26 jongkong emas tersebut.