Dua lelaki didakwa lakukan pemerasan, kurung bekas rakan sekerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan pemerasan dan mengurung secara salah bekas rakan sekerja mereka di sebuah premis hiburan, minggu lepas.

Ahli perniagaan Wong Meng Jit, 35, dan pengurus jualan Loong Yuen Hong, 33, didakwa bersama-sama melakukan pemerasan terhadap Ng Zhou Kang, 30, dengan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai RM658,000 di sebuah bilik kelab malam di Kuchai Lama di sini pada 9 malam, 15 Oktober lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Meng Jit dan Yuen Hong juga didakwa bersama-sama mengurung Zhou Kang pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuhairi Osman menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan bagi setiap tertuduh, namun peguam Tan Kian Peng yang mewakili kedua-dua lelaki itu memohon jaminan rendah kerana mereka menanggung keluarga.

Majistret M.S Arunjothy membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 November ini untuk sebutan kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: