Selaraskan semula harga siling ayam dan telur - Johari

Johari
Johari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan boleh mengambil kaedah melaraskan semula harga siling runcit ayam dan telur mengikut kenaikan serta penurunan harga pasaran komoditi dunia bagi mengatasi masalah bekalan di negara ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu perlu dibuat kerana masalah bekalan tetap berlaku walaupun kerajaan telah membelanjakan RM3.8 bilion subsidi kepada penternak, hanya untuk subsidi ayam dan telur.

Sedangkan katanya, pengeluaran ayam adalah sangat stabil iaitu lebih 100 peratus dan telur pula mencapai sebanyak 110 peratus sehingga industri ayam dan telur Malaysia berjaya mengeksport ke pasaran luar negara pada satu ketika dulu.

“Dahulu, kerajaan tidak pernah membelanjakan sebarang subsidi kepada industri ini kerana Malaysia boleh mencapai kadar sara diri (self-sufficiency rate) yang mencukupi bagi ayam dan telur serta industri tidak pernah mempunyai sebarang masalah.

“Punca kepada masalah bekalan telur dan ayam di negara kita baru-baru ini adalah disebabkan kenaikan harga komoditi dunia, di mana sumber makanan ayam iaitu komoditi jagung dan kacang soya yang diimport telah naik dengan berkali-kali ganda.

“Sebagai solusi jangka masa panjang, saya mencadangkan supaya apabila harga komoditi dunia bagi makanan ayam meningkat lagi, kerajaan boleh mengambil kaedah dengan melaraskan semula harga siling runcit ayam dan telur mengikut kenaikan serta penurunan harga pasaran komoditi dunia,” katanya sewaktu sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Bagaimanapun jelas Johari, apabila melaraskan kenaikan harga siling runcit ayam dan telur mengikut harga pasaran, kerajaan perlu menjaga golongan B40 dan pertengahan iaitu M40 yang terjejas akibat pelarasan ini.

Ujar beliau, bantuan yang perlu dibuat adalah dengan memberikan subsidi tunai ayam dan telur melalui 'cash transfer' terus kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu jumlah subsidi yang diberikan ini juga perlu mengikut penurunan dan kenaikan selaras dengan harga siling runcit yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Impak kepada kaedah pelarasan harga siling runcit dengan mengikut kenaikan dan penurunan harga pasaran bebas komoditi dunia serta sokongan pemberian subsidi terus kepada golongan sasar boleh memberi kesan kepada kestabilan industri secara keseluruhan.

“Syarikat juga boleh berjalan dengan baik dan tidak ditutup, kerajaan boleh mendapatkan cukai hasil daripada keuntungan syarikat disebabkan perkembangan industri yang sihat,” jelasnya.

Tambah Johari, negara juga boleh memperoleh semula kadar 100 peratus 'self-sufficient' dan tidak perlu bergantung kepada bekalan import ayam dan telur.

Impak lain katanya, Malaysia dapat membangun dan mengukuhkan kedudukan sekuriti makanan bagi industri ayam serta telur.

“Secara tidak langsung, kita mampu mengeksport ke pasaran luar negara dan meyakinkan negara pengimport untuk membeli bekalan dari Malaysia,” jelasnya.