Boling bawa Natasha keliling dunia

Natasha merangkul emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan ini. - Foto FB Bowling Malaysia.
Natasha merangkul emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan ini. - Foto FB Bowling Malaysia.
A
A
A

JUARA dunia Natasha Mohamed Roslan tidak pernah terfikir minat mendalam terhadap boling akan membawanya mengembara hampir ke seluruh pelosok dunia selepas diperkenalkan kepada sukan itu oleh ibunya.

Menceritakan perjalanan sebagai atlet negara, Natasha yang merangkul pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan ini berkata, beliau dipanggil menyertai skuad remaja kebangsaan ketika berusia 15 tahun.

Menurut juara remaja dunia 2016 itu yang mula bermain boling seawal usia tujuh tahun, selepas setahun bersama skuad remaja kebangsaan, beliau mengundurkan diri kerana mahu memberikan tumpuan kepada persekolahan sehingga tamat tingkatan lima.

Ibarat bertemu bukit di tepi telaga, usai tamat persekolahan, anak jati Selangor berusia 27 tahun itu terpilih untuk bersama skuad utama kebangsaan dan sejak itu berpuluh negara dilawatinya sepanjang 10 tahun membawa nama Malaysia.

"Amerika Syarikat (AS) negara paling banyak kali saya pergi, yang belum pergi Afrika Selatan, Colombia dan beberapa negara di Eropah tetapi sebelah Asia dah lengkap kerana tidak banyak kejohanan di Eropah, lebih banyak di Asia," katanya kepada Bernama.

Natasha yang juga sebahagian daripada skuad juara dunia acara berpasukan wanita di Las Vegas, AS pada 2017 berkata Jerman adalah negara pertama dilawatinya selepas bergelar pemain kebangsaan dan perjalanan ke sana mempunyai pengalaman manis tersendiri.

Sewaktu menyertai kejohanan di Jerman ketika itu, beliau menerima perkhabaran mengenai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui telefon oleh ibunya, Anita Mohamad Ali.

"Saya ingat perjalanan ke Jerman kerana waktu itu keputusan SPM keluar di sini, saya minta ibu bapa saya pergi ambil, (waktu itu) saya takut sebab takut kena marah kalau keputusan tidak baik tetapi Alhamdulillah keputusan okey dan ibu bapa terus cakap fokus boling (dan) jangan fikir pasal benda lain.

Artikel Berkaitan:

"Kenangan itu paling saya ingat disebabkan perbezaan waktu saya terima panggilan pada waktu malam, ibu bapa gembira jadi saya pun lega dan boleh berikan tumpuan kepada boling," katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata dari sudut sukan boling, AS negara paling menarik perhatiannya disebabkan ilmu dan pengalaman berharga yang diraih.

"Di sana apabila kita beraksi dalam PWBA (Persatuan Boling Wanita Profesional), saya belajar banyak benda, di sana mereka sangat teliti dalam sukan ini sebagai contoh cara mereka anjurkan kejohanan dan menjaga pemain.

"Sewaktu kejohanan di sana jurulatih tak boleh berada bersama kami, semuanya antara pemain dan lorong, kita perlu belajar sendiri apa kelemahan kita dalam setiap kejohanan disebabkan itu, di sana ada antara pemain terbaik dunia," katanya yang merupakan anak perempuan sulung dalam keluarga. - Bernama