'Adik tidak pernah beritahu ke Bangkok'

Allahyarham Muhammad Izzat meninggal dunia dalam tahanan imigresen Myanmar pada 14 Oktober lalu. - Foto Facebook Muhammad Hazwan
Allahyarham Muhammad Izzat meninggal dunia dalam tahanan imigresen Myanmar pada 14 Oktober lalu. - Foto Facebook Muhammad Hazwan
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] "Memang adik langsung tidak beritahu kami sekeluarga pemergiannya ke sana (Bangkok)," kata Muhammad Hasmanizam Abdul Wahab, 45, abang kepada rakyat Malaysia, Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, yang meninggal dunia dalam tahanan imigresen Myanmar pada 14 Oktober lalu.

Ujar Muhammad Hasmanizam, adiknya yang juga anak bongsu daripada lapan beradik pergi ke Bangkok, Thailand pada 7 Oktober lalu.

"Adik hanya beritahu pada isterinya untuk mendapatkan alat ganti kereta dan memang tidak beritahu langsung kepada saya dan ahli keluarga lain.

"Saya ada telefon pada 11 Oktober lalu tapi dia hanya beritahu ada di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum itu, mangsa yang berasal dari Tanjung Lumpur, Kuantan di sini berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar.

Difahamkan mangsa menaiki penerbangan ke Bangkok sebelum sindiket menculik dan membawanya ke Myanmar melalui jalan darat, namun berjaya diselamatkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mangsa dipercayai diselamatkan oleh wakil Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) di sebuah hotel di Myanmar dengan bantuan rakyat Malaysia di sana sebelum diserahkan kepada imigresen Myanmar.

”Adik saya dihantar ke tahanan imigresen bagi tujuan soal siasat dan proses mahkamah sebelum dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh dua hari menjadi tahanan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Hasmanizam (dua dari kiri) ketika dikunjungi Ab Hamid (dua dari kanan) di kediaman keluarga itu pada Isnin.
Muhammad Hasmanizam (dua dari kiri) ketika dikunjungi Ab Hamid (dua dari kanan) di kediaman keluarga itu pada Isnin.

"Menurut laporan perubatan di Myanmar, adik saya disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung tetapi ikutkan dia tidak menghidap sebarang penyakit sebelum ini," kata Muhammad Hasmanizam.

Ujarnya, dia bersama adiknya, Mohd Asmawi, 43, akan ke Myanmar Jumaat ini untuk urusan pengebumian Allahyarham Muhammad Izzat di Yangon.

Tambah Muhammad Hasmanizam, mereka sekeluarga reda dengan kehilangan tersebut walaupun sedih dengan nasib yang menimpa adiknya.

"Adik memang rapat dengan saya, dia seorang yang ceria, suka membantu dan rajin bekerja. Pelbagai kerja dilakukan untuk mencari rezeki termasuk menjadi penghantar makanan," katanya.

Allahyarham Muhammad Izzat meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun.

Sementara itu, nasib keluarga tersebut mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar.

Beliau terpanggil untuk membantu dan mengurangkan beban keluarga Allahyarham Muhammad Izzat khususnya urusan pengebumian di Myanmar.

"Dua wakil keluarga Allahyarham akan ke sana pada Jumaat ini dan kita juga telah menghubungi Kementerian Luar Negeri bagi memudahkan urusan mereka," ujar beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuantan.